
MIRI – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan secara telus berhubung isu penamatan kontraktor bagi projek naik taraf Kolam Renang Awam Miri yang dilaporkan sejak beberapa hari lalu.
Ketua AMK Miri, Christopher Jemat Amie berkata, perkara itu wajar diberi perhatian serius kerana melibatkan kepentingan masyarakat setempat serta penggunaan dana kerajaan.
Menurut beliau, situasi tersebut menimbulkan persoalan terhadap tahap keberkesanan pemantauan dan pengurusan projek sejak peringkat awal, khususnya bagi projek kemudahan awam yang berkepentingan tinggi kepada rakyat.
“Pihak berkaitan perlu tampil dengan penjelasan komprehensif merangkumi status semasa projek, jumlah kos terkini termasuk implikasi kewangan susulan penamatan kontrak, serta pelan pelaksanaan baharu yang jelas dan realistik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan memperkukuh mekanisme pemantauan dan tadbir urus projek agar pelaksanaan dapat berjalan mengikut jadual serta mengelakkan kelewatan berulang.
Tambahnya, kemudahan seperti Kolam Renang Awam Miri bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat dari segi kesihatan dan rekreasi, malah berpotensi melahirkan atlet renang berbakat.
Sehubungan itu, AMK Miri menegaskan projek berkenaan perlu disiapkan dengan cekap, berkualiti tinggi dan dalam tempoh yang munasabah demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.
AMK Miri turut menegaskan komitmen berterusan dalam memperjuangkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam setiap aspek pelaksanaan projek.





