
LAHAD DATU – Dakwaan kononnya kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik Tawau yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia secara rasmi sebagai milik Indonesia adalah tidak benar, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
Tegas Hajiji, beliau yang hadir dalam perbincangan berkaitan menjelaskan bahawa situasi sebenar menunjukkan pihak Malaysia memperoleh lebih banyak manfaat daripada rundingan tersebut.
“Itu tidak betul. Siapa yang mengatakan ia diserahkan?
“Saya hadir, namun dalam perkara ini, kita yang untung.
” Walaubagaimanapun, saya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Pak Probowo tidak boleh buat kenyataan, war-warkan ini.
“Tidak ada, kita yang banyak untung ini, itu saya boleh cakap,” katanya kepada media pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana, di sini, pada Khamis.
Pada Rabu, media luar negara dan tempatan melaporkan Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari dalam sidang media pada Rabu di Jakarta memaklumkan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini secara rasmi disahkan sebagai milik Indonesia.
Qodari berkata, perubahan itu hasil diplomasi berhubung penyelesaian sempadan darat antara Malaysia dan Indonesia.
Penyelesaian sempadan itu turut menyebabkan sebahagian kecil kawasan Indonesia iaitu 4.9 hektar kini termasuk dalam wilayah Malaysia.



