KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Chithirai, Hari Vaisakhi dan Vishu kepada seluruh masyarakat Tamil, Sikh serta Malayalee di negara ini.
Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berharap sambutan tahun baharu itu membawa kebahagiaan yang menenangkan jiwa, kesihatan berpanjangan serta keberkatan melimpah kepada mereka yang meraikannya.
“Dalam semangat ini, marilah kita terus memelihara perpaduan dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab supaya Malaysia kekal teguh sebagai negara yang makmur dan harmoni.
“Kepelbagaian yang kita warisi ini asas yang menyatukan kita dalam satu ikatan kebersamaan dengan semangat saling menghormati, memahami dan saling memperkukuh,” katanya.
Tahun Baharu Tamil menandakan hari pertama dalam kalendar Tamil, manakala Hari Vaisakhi pula menandakan permulaan musim menuai menurut kalendar masyarakat Sikh dan Punjabi yang diraikan hari ini.
Hari Vishu yang disambut esok oleh masyarakat Malayalee pula menandakan permulaan tahun kalendar Malayalam serta melambangkan pembaharuan dan kemakmuran.




