
SIBU – Sistem perkhidmatan kesihatan di wilayah tengah Sarawak kini melangkah ke fasa yang lebih efisien susulan perolehan mesin Magnetic Resonance Imaging (MRI) baharu bernilai RM9 juta di Hospital Sibu pada Jumaat.
Aset perubatan berteknologi tinggi itu merupakan sumbangan bermakna daripada Yayasan Jantung Sarawak (Sarawak Heart Foundation) bersama-sama beberapa organisasi dan individu prihatin bagi memperkukuhkan fasiliti diagnosis di hospital berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, sumbangan tersebut merupakan satu sokongan signifikan dalam usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkatkan kualiti rawatan, khususnya bagi rakyat di negeri ini.
“Teknologi MRI ini berupaya menilai struktur dan fungsi jantung, termasuk pengaliran darah serta jaringan dalaman secara selamat dan terperinci.
“Ia sekali gus membolehkan pihak hospital menyediakan diagnosis yang lebih tepat, pantas dan efisien kepada pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Mesin MRI di Hospital Sibu yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
Mengulas lanjut, Hanifah turut menzahirkan penghargaan buat semua penyumbang yang berganding bahu membantu merealisasikan penyediaan kemudahan tersebut demi manfaat kesihatan masyarakat setempat.
Tambah beliau, penambahan aset berkenaan dijangka dapat mengurangkan tempoh masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan, selain memastikan kualiti penjagaan kesihatan di wilayah ini terus diperkasakan secara komprehensif.




