
KANGAR – Seorang penjawat awam direman selama lima hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes disyaki menerima rasuah kira-kira RM200,000 berkaitan urusan pemberian pingat dan bintang.
Perintah reman sehingga 13 April itu dikeluarkan Majistret Nurul Natasha Rizal selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kangar.
Suspek lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada jam 2.40 petang pada Rabu di pejabat SPRM Perlis selepas hadir memberi keterangan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai menerima wang sebagai habuan bagi menguruskan pemberian darjah kebesaran daripada sebuah pertubuhan sekitar tahun 2024.
“Jumlah habuan yang diterima dianggarkan sekitar RM200,000 bagi tujuan tersebut,” katanya.
Tambah sumber itu, beberapa saksi turut dipanggil bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan suspek dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.




