PUTRAJAYA – Kerajaan mempergiat usaha mengawal pengedaran bahan api bersubsidi bagi mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan yang berpotensi meningkat susulan tekanan krisis tenaga global akibat konflik berterusan di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan itu dilaksanakan melalui Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dijalankan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi penguat kuasa.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 16 Mac hingga 5 April lalu, operasi berkenaan merekodkan 8,148 pemeriksaan dengan 155 kes dikesan, manakala nilai keseluruhan rampasan melebihi RM2 juta, kebanyakannya membabitkan diesel bersubsidi.Menurutnya, kes berkaitan diesel mencatat jumlah tertinggi iaitu 60 kes dengan nilai rampasan mencecah RM2.1 juta.
Selain itu, sebanyak 47 kes membabitkan petrol RON95 direkodkan dengan nilai rampasan RM51,299, diikuti 21 kes gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM37,822, manakala 27 kes lain melibatkan barangan kawalan seperti minyak masak, gula dan tepung gandum.
“Kerajaan akan terus memastikan kestabilan bekalan tenaga negara serta melindungi subsidi rakyat daripada dimanipulasi sindiket yang mengambil kesempatan dalam situasi global yang tidak menentu,” katanya pada sidang media harian berkaitan Krisis Tenaga Global Malaysia, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, konflik berpanjangan di Asia Barat memberi kesan langsung kepada landskap tenaga dunia, terutama melibatkan negara pengeluar minyak utama, sekali gus meningkatkan risiko gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan harga tenaga.
Beliau berkata susulan perkembangan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu memutuskan supaya Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) diaktifkan bagi memperkukuh pemantauan serta tindakan penguatkuasaan berkaitan ketirisan barangan kawalan, khususnya diesel dan petrol.
Katanya, jawatankuasa itu dipengerusikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan penglibatan beberapa kementerian serta agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Antara keputusan utama ialah pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu menerusi penglibatan menyeluruh agensi penguatkuasaan di darat, sempadan dan perairan, sebagai sebahagian usaha memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara kekal terkawal,” katanya.


