
KLUANG – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya berkempen secara sihat dan menjauhi fitnah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kali ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menitip pesan agar ahli jentera tidak melakukan sebarang provokasi serta menjaga adab ketika berkempen.
Menurut Mohamad, pergerakan kempen ini diadakan bagi menyantuni pengundi bagi memastikan DUN Mahkota ini kekal di bawah UMNO-BN.
“Pesan saya berkempen secara sihat, kita jangan kacau sesiapa dan jangan memburukkan sesiapa serta jaga tatasusila kita.
“Kita berkempen ini untuk meneruskan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ini kekal di bawah kita. Dan jentera mesti bekerja kuat, kita jangan merasa selesa kerana pada pilihan raya terdahulu DUN Mahkota ini menang dengan majoriti 5,166 undian.
“Tetapi dalam setiap pilihan raya ia berlainan. Pastikan kita bekerja untuk menyantuni setiap pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada The Malaysia Press ketika sesi Ziarah Kasih dari rumah ke rumah di Kampung Melayu 1, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO akan sedaya upaya menyantuni masyarakat sekitar dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Kata Mohamad, kekuatan jentera telah diagihkan mengikut pusat daerah mengundi (PDM) masing-masing bagi bergerak bertemu dengan seramai mungkin pengundi agar dapat memberikan kepercayaan kepada BN.
Tambahnya, maklum balas yang diterima daripada pengundi adalah positif dan tiada kesukaran yang berlaku sepanjang kempen pada hari pertama ini.
“Tiada kesukaran menarik pengundi kerana kadar pengundian semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di sini amat baik begitu juga Pilihan Raya Umum (PRU).
“Yang pentingnya adalah untuk kita jentera parti menyantuni dan berjumpa seramai mungkin pengundi-pengundi supaya meyakini mereka untuk memberikan kepercayaan kepada BN bagi memastikan mereka untuk terus menyokong parti,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal PRK DUN Mahkota pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.







