
MIRI – Industri pelancongan Malaysia terus mempamerkan daya tahan yang tinggi dan kekal utuh meskipun berdepan dengan pelbagai ketegangan geopolitik global, termasuk konflik di Asia Barat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, negara telah berjaya merekodkan ketibaan seramai 2,835,724 pelancong pada Mac tahun ini.
Menurutnya, angka tersebut menunjukkan peningkatan positif sebanyak 2.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Lonjakan pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh pasaran dari ASEAN, Asia Timur dan Eropah, sekali gus menampung sedikit penurunan ketibaan pelancong dari Timur Tengah dan Afrika.
“Susulan itu, kerajaan kini sedang giat memberikan tumpuan kepada pasaran bernilai tinggi serta inisiatif memperluaskan lagi rangkaian pasaran baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai status sektor pelancongan negara di sebalik ketidaktentuan landskap global ketika ini.
Tambah beliau, kementerian juga akan terus memperkukuhkan segmen pelancongan berkualiti tinggi dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang utama.
Dalam pada itu, Choon Man memberitahu, agensi di bawahnya iaitu Tourism Malaysia akan terus memantau rapat perkembangan trend pasaran antarabangsa dari semasa ke semasa.
Jelasnya lagi, kerajaan turut bekerjasama erat dengan para pemain industri bagi merangka strategi berkesan dalam menangani isu peningkatan kos operasi yang dihadapi mereka ketika ini.
“Kerajaan komited sepenuhnya dalam memastikan sektor pelancongan negara kekal stabil, berdaya saing dan terus berkembang maju,” ujarnya.






