
AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberi amaran bahawa sembilan ahli Parlimen PKR yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kehakiman perlu bersedia menanggung akibat sekiranya tindakan mereka membawa kepada kejatuhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI yang diterajuinya.
Menurut Hassan, desakan tersebut yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi gambaran bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar, bukan sahaja sebagai ketua kerajaan tetapi juga sebagai Presiden PKR.
“Jika RCI ditubuhkan dengan terma rujukan seperti yang dituntut oleh sembilan ahli Parlimen ini, Anwar tidak dapat mengelak daripada menjadi subjek siasatan kerana kuasa pelantikan kehakiman berada di bawah tanggungjawab beliau. Ini menjadikan beliau suspek utama. Itu kesan langsung daripada tindakan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, RCI tidak akan terbentuk tanpa persetujuan Perdana Menteri dan Kabinet.
Sekiranya penubuhan itu gagal, tekanan yang ditimbulkan akan tetap memberi kesan negatif terhadap kepimpinan Anwar dan melemahkan Kerajaan MADANI secara keseluruhan.
“Sembilan ahli Parlimen PKR tersebut meletakkan Presiden PKR sendiri dalam bahaya. Apa yang mereka lakukan sekarang seperti meletakkan tengkok Anwar di bawah ‘guillotine’ seperti dalam Revolusi Perancis,” katanya.
Walaupun mengakui isu kehakiman yang diketengahkan itu sah dan mendapat perhatian masyarakat, Hassan mempersoalkan sama ada mereka telah menilai sepenuhnya kesan terhadap kestabilan politik dan masa depan reformasi yang diperjuangkan selama ini.
“Tindakan sembilan ahli Parlimen PKR itu adalah progresif dan radikal serta popular di kalangan rakyat.Tetapi risikonya ada.
“Adakah mereka itu telah bersedia untuk menghadapi PM tumbang kerana menuntut RCI diadakan? Jika jawapannya ya, maka jelaslah satu pemberontakan dalam sedang berlaku di dalam PKR itu sendiri,” katanya.
Hassan turut menyifatkan tindakan ini sebagai satu cabaran paling serius terhadap kepimpinan Anwar yang datang bukan dari luar, tetapi dari dalam parti sendiri kerana sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Ia menunjukkan bahawa ada suara dalaman yang sudah hilang sabar, hilang keyakinan, dan mula bersuara lantang terhadap kompromi-kompromi politik yang dibuat oleh Perdana Menteri.
“Apabila PM pulang dari lawatan di luar negara kerana menjalankan tanggungjawab untuk Malaysia dan rakyatnya maka tugas utama Anwar ialah untuk menangani tuntutan sembilan ahli Parlimen PKR itu dengan bijaksana kerana penentangan backbencher ini dalam isu kehakiman bukannya isu kecil.
“Ini isu yang amat serius. Anwar sedang berhadapan suasana “seperti buku bertemu ruas” didalam partinya sendiri,” katanya.
Walau bagaimanapun, Hassan menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Anwar dan menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan Kerajaan MADANI.
“Anwar masih mempunyai kekuatan politik dan idealisme. Saya tetap bersama beliau,” tegasnya.








