
PALESTIN menggesa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) segera melindungi tapak arkeologi di wilayah itu daripada rampasan Israel.
Kementerian Luar Palestin dalam kenyataan semalam mengecam keputusan Israel mengklasifikasikan 63 tapak arkeologi di Tebing Barat sebagai ‘warisan Israel’, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan perjanjian terdahulu, lapor Anadolu.
Menurut kementerian itu, langkah Israel jelas sebahagian daripada ideologi penjajahan yang bertujuan menguasai Tebing Barat secara berperingkat dengan mengubah tanda sempadan serta identiti Palestin.
“Tindakan ini antara bentuk kecurian terbesar tanah Palestin untuk penempatan haram dengan alasan palsu tanpa sebarang bukti sejarah. Ia adalah jenayah terbuka yang memalsukan sejarah dan realiti semasa,” tegas kenyataan itu.
Palestin turut mendesak UNESCO dan masyarakat antarabangsa menolak naratif Israel yang cuba mengabsahkan penempatan haram melalui penguasaan tapak sejarah, termasuk yang terletak di tengah pekan dan bandar Palestin.
Kementerian itu memberi amaran tindakan berkenaan boleh menggagalkan usaha penubuhan sebuah negara Palestin merdeka, selain menghapuskan identiti asal tapak warisan bersejarah.
Sementara itu, Institut Penyelidikan Gunaan–Baitulmaqdis (ARIJ) mendedahkan Israel telah mengisytiharkan 63 tapak Palestin di Tebing Barat sebagai ‘warisan Israel’. Malah, lebih 2,400 tapak lain sebelum ini turut diklasifikasikan sedemikian.
Perkembangan itu berlaku ketika serangan Israel di Tebing Barat semakin meningkat, dengan sekurang-kurangnya 1,015 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 7,000 cedera sejak Oktober 2023.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan penjajahan Israel di wilayah Palestin adalah menyalahi undang-undang, serta menggesa semua penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dikosongkan segera.





