
KRISIS kebuluran di Gaza berpunca daripada kegagalan menyalurkan bantuan kemanusiaan, bukannya kekurangan bekalan makanan, kata Ketua Pengarah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Catherine Russell.
Bercakap kepada CBS pada Ahad, beliau menegaskan kanak-kanak di Gaza telah berbulan-bulan tidak mendapat makanan mencukupi sehingga ramai berada di ambang kebuluran dan akhirnya meninggal dunia, lapor Anadolu.
“Ini bukan disebabkan bencana alam seperti taufan atau kemarau. Ia berlaku kerana bantuan tidak dapat disalurkan kepada kanak-kanak yang memerlukan,” katanya.
Mengulas dakwaan Israel yang menafikan wujudnya kebuluran, Russell mempertahankan penilaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Integrated Food Security Phase Classification (IPC) yang mengesahkan kebuluran di utara Gaza.
Penilaian itu, katanya, dibuat pakar bebas berdasarkan tahap kekurangan makanan, kadar malnutrisi dan kematian akibat kebuluran.
Beliau turut menggesa akses media antarabangsa ke Gaza bagi mengesahkan keadaan sebenar.
Russell turut mengkritik mekanisme bantuan Israel melalui Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang hanya mengendalikan empat pusat agihan, berbanding 400 lokasi yang sebelum ini diurus PBB.
“Biarkan kami masuk dan laksanakan kerja kami. Kami mempunyai pengalaman untuk mengurus pengagihan bantuan ini,” tegasnya.





