
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Peto Galim berkata, pusat pengumpulan baharu itu dibangunkan di Nabawan, Tambunan, Tenom, Penampang (Moyog) dan Tuaran.
“Setakat ini, Kementerian melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD) telah membina enam APCC di Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Lahad Datu, Kundasang (Ranau) dan Telupid.
“Pusat ini dilengkapi kemudahan lengkap termasuk ruang pengumpulan hasil, penggredan, penyimpanan sejuk, pembungkusan, pengangkutan, pemunggahan dan pemasaran.
“Para petani luar bandar boleh menghantar hasil pertanian berkualiti ke pusat ini dan KPD akan membantu memasarkan hasil tersebut ke pasaran lebih luas,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Anwar Ayuub dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini.
Peto berkata, selain memudahkan pemasaran, fasiliti di APCC turut menyediakan mesin pembungkusan seperti ‘top sealer’ dan ‘vacuum pack’, termasuk peralatan pemprosesan asas untuk membantu petani atau usahawan kecil menambah nilai produk sebelum dipasarkan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sedang mengusahakan pembangunan semula kawasan sawah padi terbiar tanpa sistem pengairan melibatkan keluasan 22,146 hektar.
“Antara kawasan sawah padi terbiar yang terlibat adalah di enam daerah iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Tambunan, Keningau dan Papar.
“Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pembangunan padi di kawasan tersebut, Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Padi Daerah telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Ahli Lembaga LPBS di setiap daerah terlibat,” jelasnya.






