
PUTRAJAYA – Seramai 435 rakyat Malaysia tersenarai di antara 1.44 juta individu bukan warganegara Amerika Syarikat (AS) yang menerima arahan akhir pengusiran daripada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).
Menurut data Operasi Penguatkuasaan dan Penyingkiran (ERO) ICE yang dikeluarkan November lalu, sejumlah 435 rakyat Malaysia kini berada dalam doket (fail) bukan tahanan ICE dengan arahan penyingkiran muktamad.
Ia sekaligus meletakkan Malaysia dalam kategori pertengahan antara negara yang terjejas akibat pengusiran itu.
Data tersebut kembali mendapat perhatian susulan kepulangan Donald Trump ke Rumah Putih bulan ini, berikutan usaha pentadbirannya memperketatkan penguatkuasaan imigresen.
Dokumen ICE menunjukkan bahawa walaupun golongan bukan warganegara yang menerima arahan pengusiran akhir boleh mendapatkan perlindungan melalui suaka atau Konvensyen Menentang Penyeksaan, namun kerajaan AS tetap mengharapkan negara asal menerima kepulangan rakyat mereka.
“Kekurangan kerjasama daripada kerajaan asing melambatkan dan dalam banyak kes, menghalang proses pengusiran,” menurut kenyataan ICE.
Agensi itu menggesa kerajaan asing untuk segera mengesahkan kewarganegaraan dan mengeluarkan dokumen perjalanan dengan segera, serta menerima penghantaran pulang rakyat sendiri melalui penerbangan komersial atau sewaan khas.
Kegagalan untuk mematuhi arahan pengusiran tersebut boleh menyebabkan sesebuah negara diklasifikasikan sebagai tidak bekerjasama atau berisiko tidak mematuhi.
Ketika ini, 15 negara termasuk China, India dan Pakistan disenaraikan sebagai tidak bekerjasama, manakala 11 negara lain seperti Vietnam dan Iraq dianggap berisiko.
Dalam pada itu, jurucakap Wisma Putra dalam kenyataan ringkas berkata, kementerian itu mengetahui laporan pengusiran berkenaan, tetapi kedutaannya di Washington tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada pihak berkuasa AS.
Katanya, tiada permintaan rasmi untuk bantuan konsular daripada rakyat Malaysia yang menerima arahan akhir pengusiran.
“Kedutaan dan konsulat kami di AS kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa berkaitan serta terus berhubung dengan masyarakat Malaysia untuk memastikan kesejahteraan dan pematuhan mereka terhadap peraturan imigresen,” ujarnya seperti dilapor FMT.








