GAZA – Memasuki hari ke-393 serangan tidak berperikemanusian rejim Israel ke atas Palestin, angka korban terus meningkat kepada 43,259 kematian, 101,827 yang lain cedera yang mana kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, lapor WAFA memetik kenyataan sumber kesihatan tempatan.
Menurut sumber, walaupun sudah menghampiri 400 hari serangan, namun masih ramai lagi mangsa yang dipercayai tersekat di bawah runtuhan bangunan dan di jalan-jalan raya tidak dapat diselamatkan oleh petugas kesihatan akibat sekatan ketat rejim Israel.
Sementara itu, situasi di utara Gaza pula menyaksikan 1,200 orang rakyat Palestin telah terkorban akibat serangan tanpa henti di dalam kepungan ketat rejim Israel di kawasan terbabit sejak empat minggu lalu, kata Kementerian Kesihatan di utara Gaza pada Khamis.
“Tentera Israel terus melakukan pembunuhan beramai-ramai dan menyasarkan tempat perlindungan dan orang awam di Beit Lahia, mengakibatkan korban jiwa dalam keadaan sistem penjagaan kesihatan yang semakin ‘lumpuh’ di sana,” Munir al-Bursh, Ketua Pengarah kementerian itu, memberitahu Anadolu.
Munir al-Bursh menegaskan bahawa rejim Israel terus melakukan pembunuhan dan kemusnahan ke atas rakyat Palestin kerana tiada pengawasan atau akauntabiliti yang boleh menghentikan jenayah mereka.
Tambah pegawai itu, rejim Israel juga sedang menghalang kemasukan bekalan perubatan ke utara Gaza dan mengenakan sekatan ke atas hospital Kamal Adwan, Al-Awda, dan Indonesia di kawasan utara.
Terdahulu pada Khamis, Jurucakap PBB Stéphane Dujarric memberitahu bahawa bekalan perubatan yang dihantar ke Hospital Kamal Adwan di utara Gaza lima hari lalu telah menjadi sasaran serangan udara Israel dan musnah sepenuhnya, lapor WAFA.
Dujarric berkata, sekatan Israel di utara Gaza masih berterusan sehingga menyukarkan proses menyelamat pasukan mencari dan menyelamat dan menyekat kakitangan perubatan daripada meneruskan rawatan ke atas pesakit akibat serangan berterusan ke atas hospital terbabit.






