BEIRUT – Selepas hampir 33 tahun dipenjara di Penjara Sednaya yang terkenal di kawasan pedalaman luar ibu kota Damsyik, Syria, seorang lelaki Lubnan menceritakan bagaimana dia ‘bernafas dalam penderitaan setiap hari’ tanpa sebarang harapan untuk kembali ke tanah airnya.
Namun hari ini, Souhail Hamwi akhirnya berada dalam ‘pelukan’ tanah air dan keluarganya, selepas kejatuhan pantas rejim Assad di Syria.
Hamwi, rakyat Lubnan pertama yang kembali ke negaranya selepas dibebaskan bersama tahanan Lubnan lain dari penjara rejim Syria, berkata kepada Anadolu dalam satu temu bual, “saya langsung tidak mempunyai harapan untuk keluar dari penjara dan kembali ke tanah air serta rumah saya.”
Menurut laporan antarabangsa, Penjara Tentera Sednaya digambarkan sebagai ‘rumah penyembelihan manusia’ dan terletak kira-kira 30 kilometer dari ibu kota Damsyik di mana selepas Mac 2011, penjara ini menjadi pusat untuk menahan penunjuk perasaan aman dan anggota pembangkang bersenjata.
Laporan menunjukkan bahawa ribuan orang telah dibunuh secara sistematik dan rahsia di dalam penjara ini, di mana rejim melaksanakan hukuman mati besar-besaran tanpa perbicaraan antara 2011 dan 2015, dengan kadar sehingga 50 orang dihukum mati seminggu.
Laporan tersebut juga menunjukkan bahawa rejim menahan banduan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan, termasuk menyeksa mereka secara sistematik dan menafikan makanan, air, serta rawatan perubatan.
Awal pagi Ahad, kumpulan anti-rejim memasuki Damsyik dan mengambil alih kawalan selepas pasukan rejim berundur dari institusi awam dan jalan raya, menamatkan 61 tahun pemerintahan berdarah Parti Baath dan 53 tahun pemerintahan keluarga Assad.
Perbalahan antara pasukan rejim Syria dan kumpulan pembangkang bermula pada 27 November di wilayah Aleppo dan Idlib, di mana kedua-duanya jatuh di bawah kawalan kumpulan pembangkang sebelum merebak ke bandar Hama, Daraa, Sweida, Homs, dan akhirnya Damsyik.
Hamwi ditahan pada tahun 1991 oleh perisikan tentera Syria atas tuduhan menjadi anggota Parti Pasukan Lubnan, yang dikenali kerana menentang kehadiran Syria di Lubnan. Dia merupakan salah seorang daripada ratusan rakyat Lubnan yang hilang di penjara Syria, menurut kumpulan hak asasi manusia Lubnan.
“Saya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup di Penjara Sednaya, dan hari ini saya kembali ke rumah yang sama dari mana saya ditangkap di bandar Chekka (utara Lubnan) oleh perisikan Syria 33 tahun lalu,” katanya.
Bekas tahanan itu menggambarkan penderitaan yang dialaminya sepanjang lebih tiga dekad dalam tahanan. Dia dipindahkan antara Penjara Anjar di timur Lubnan ketika di bawah pentadbiran Syria, ke Penjara Adra di Damsyik, Penjara Latakia, dan akhirnya ke Penjara Sednaya yang terkenal.
“Dalam beberapa tempoh tahanan, saya berada dalam kurungan bersendirian selama 15 tahun sebelum dipindahkan ke Penjara Sednaya, di mana saya diletakkan dalam sel berkongsi,” tambahnya.
Mengenai keadaan penahanannya, Hamwi berkata, segala yang dia lalui sejak saat ditahan adalah penderitaan perasaan yang bercampur dengan keputusasaan dan kekurangan. Dia langsung tidak mempunyai harapan untuk keluar dari penjara.
“Tiada lawatan, dan komunikasi dengan keluarga serta saudara-mara sepenuhnya dilarang. Saya percaya liputan media tentang tragedi kami kurang memadai.
“Kami tahu ada peristiwa berlaku di luar, tetapi kami tidak pernah menjangka akan keluar dari penjara begitu pantas.
“Saya mendengar tembakan tetapi tidak tahu siapa yang membebaskan saya. Saya berjalan kira-kira 15 kilometer sebelum seseorang memberi saya tumpangan ke Lubnan,” katanya.
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan pada Isnin bahawa Hamwi adalah antara tahanan pertama yang kembali ke Lubnan, langkah yang menimbulkan harapan untuk kepulangan tahanan Lubnan lain yang masih hilang, malah menurut Persatuan Bekas Tahanan Politik Lubnan di Penjara Syria sekitar 622 rakyat Lubnan masih hilang secara paksa di penjara Syria.
Sepanjang kehadiran hampir 30 tahun Syria di Lubnan (1976–2005), sejumlah rakyat Lubnan ditangkap dan dipindahkan ke penjara Syria atas pelbagai sebab, termasuk menjadi ahli parti yang menentang kehadiran Syria, atau disyaki bekerjasama dengan kumpulan yang dianggap bermusuhan dengan rejim Syria ketika itu.
Selain itu, sesetengah rakyat Lubnan dikenakan penahanan secara paksa tanpa penjelasan jelas, terutamanya semasa Perang Saudara Lubnan (1975–1990).
Pada masa lalu, rejim Assad membebaskan tahanan Lubnan dalam dua kumpulan, kumpulan pertama pada 1998, melibatkan 121 rakyat Lubnan, dan kumpulan kedua pada tahun 2000, melibatkan 54 orang, bagaimanapun, organisasi Lubnan menegaskan bahawa ratusan rakyat Lubnan masih berada di penjara Syria tidak seperti yang dinafikan oleh rejim Assad sebelum ini.






