
MIRI – Selepas empat penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat Bekenu, Datuk Rosey Yunus memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bagi membuka laluan kepada kepimpinan generasi muda.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak itu memaklumkan keputusan berkenaan menerusi satu kenyataan media pada Rabu.
“Setelah mempertimbangkan perjalanan dan tanggungjawab selama empat penggal ini, saya telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN13 dan memberi ruang serta peluang kepada generasi muda untuk tampil ke hadapan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau menyerahkan sepenuhnya penentuan calon pengganti kerusi N.71 Bekenu kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selain menzahirkan keyakinan bahawa golongan muda memiliki tenaga, idea dan pendekatan tersendiri untuk meneruskan agenda pembangunan kawasan tersebut.
Pada pengumuman rasmi senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini, Abang Johari menamakan bekas jurutera kanan Sarawak Energy Berhad, Nurfatin Syafawani Tahamat, 34, untuk menggalas cabaran gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu.
Mengimbas perkhidmatannya, Rosey merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat setempat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik atas kepercayaan, sokongan, doa serta kerjasama yang diberikan, di samping berterima kasih kepada Premier Sarawak atas kepercayaan melantiknya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Timbalan Menteri.
“Tempoh perkhidmatan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang amat besar serta pengalaman yang tidak ternilai dalam kehidupan saya,” katanya.
Menurut beliau, amanah sebagai wakil rakyat membolehkannya mendekati penduduk, mendengar permasalahan masyarakat serta memperjuangkan kebajikan dan pembangunan kawasan, namun beliau turut mengakui sebarang kekurangan sepanjang menjalankan tanggungjawab berkenaan.
“Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua sekiranya terdapat sebarang kekhilafan, kekurangan atau janji yang tidak dapat ditunaikan sepanjang tempoh perkhidmatan saya,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun menegaskan keputusan tidak mempertahankan kerusi itu bukan bermakna hubungannya dengan penduduk setempat akan terputus.
“Bekenu tetap dekat di hati saya. Saya akan sentiasa menghargai persahabatan, persaudaraan dan kenangan bersama seluruh masyarakat,” tambahnya.
Rosey turut berharap seluruh warga Bekenu terus hidup dalam suasana aman, bersatu padu, makmur dan sejahtera demi memastikan kawasan itu menikmati pembangunan berterusan.



