
KUALA LUMPUR – Jenayah penipuan dalam talian terus mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 192,869 kes dengan nilai kerugian RM7.33 bilion direkodkan sejak 2023 hingga Oktober lalu.
Dalam tempoh sama, seramai 75,266 individu ditahan, manakala 69,665 pertuduhan direkodkan terhadap mereka yang terbabit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 56,802 kes penipuan dalam talian dilaporkan dengan jumlah kerugian RM1.56 bilion.
Katanya, seramai 20,842 individu ditahan sepanjang tempoh itu, manakala 17,985 kertas siasatan menghasilkan pertuduhan terhadap 18,369 individu.
“Data ini menunjukkan trend jenayah penipuan dalam talian semakin meningkat,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau A/L Veraman (PH-Klang) mengenai perkembangan usaha membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai, termasuk jumlah kerugian yang ditanggung rakyat sejak 2023.
Saifuddin Nasution berkata, kegiatan sindiket penipuan turut bergantung kepada penggunaan akaun keldai sebagai saluran untuk menjalankan transaksi kewangan hasil kegiatan jenayah.
Sebanyak 254,546 akaun keldai dikesan sejak 2023 hingga Oktober 2026, dengan 137,699 akaun didakwa, katanya.
Beliau berkata, enam modus operandi utama penipuan dalam talian dikenal pasti, merangkumi jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, penipuan cinta, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
Mengikut profil mangsa, katanya, wanita membentuk 60 peratus daripada keseluruhan mangsa penipuan dalam talian, berbanding lelaki sebanyak 40 peratus.
Kebanyakan mangsa bekerja dalam sektor swasta, manakala golongan pelajar pula antara yang banyak terbabit dalam kesalahan membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai.
“Sindiket tidak dapat beroperasi sekiranya tidak mempunyai akaun keldai,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, peningkatan kesedaran masyarakat terhadap penipuan dalam talian dapat dilihat menerusi pertambahan panggilan yang diterima Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997.
Katanya, sebelum NSRC dan talian berkenaan diperkenalkan, pihaknya menerima sekitar 300 hingga 400 panggilan sehari.
Bagaimanapun, jumlah itu meningkat kepada 30,000 panggilan sepanjang Oktober lalu, bersamaan purata kira-kira 1,000 panggilan sehari.
“Hasil penerangan berterusan, kesedaran masyarakat semakin meningkat. Sebaik menyedari menjadi mangsa, mereka segera menghubungi talian 997 atau NSRC,” katanya.
Bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah berkenaan, beliau berkata, Malaysia turut menjalin kerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa, termasuk Interpol dan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).
Di peringkat ASEAN, Malaysia mempunyai Program Kerjasama ASEAN bagi Menangani Jenayah Siber yang menyediakan ruang untuk pertukaran maklumat, perkongsian risikan serta pelaksanaan operasi bersama jika diperlukan.



