
BEKENU – Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Bekenu, Nurfatin Syafawani Tahamat bertekad meneruskan legasi pembangunan penyandang terdahulu, Datuk Rosey Yunus serta memberi tumpuan khusus kepada program pemerkasaan wanita dan belia.
Nurfatin, 34, yang merupakan anak jati Kampung Kelulit, Bekenu, akan turun padang ke kawasan bagi meneliti secara terperinci keperluan penduduk serta aspek yang perlu ditambah baik.
“Kita akan lebih menegaskan kepada program wanita dan belia. Saya ingin sangat membawa belia di DUN Bekenu agar tidak ketinggalan dengan pendidikan dan segala perkembangan sekarang,” katanya ketika ditemui media pada Rabu.
Beliau yang mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai jurutera kanan di Sarawak Energy Berhad (SEB) menyifatkan pemilihan dirinya sebagai satu amanah besar yang akan digalas sebaik mungkin.
“Saya sangat berbesar hati dan berbangga terpilih sebagai calon. Ini adalah amanah serta tanggungjawab yang diberikan dan saya akan cuba dengan sehabis baik,” katanya.
Mengulas dorongannya menyertai politik, Nurfatin menzahirkan penghargaan kepada Rosey Yunus yang disifatkannya sebagai mentor dan pemimpin hebat yang banyak membawa pembangunan di DUN Bekenu.
“Saya banyak melihat karier politik beliau dan apa yang disumbangkan oleh beliau di DUN Bekenu. Banyak sudah pembangunan dan dengan itu saya akan meneruskan legasi beliau,” katanya.
Ketika ditanya mengenai statusnya sebagai antara calon termuda serta wakil wanita GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, beliau mengakui tidak mempunyai maklumat rasmi sama ada dirinya yang paling muda, namun berbangga dengan pencalonan tersebut.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk berpegang teguh kepada kepimpinan parti di bawah GPS.



