
KOTA KINABALU – Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan sebagai alat memperkasa kreativiti manusia tanpa menghakis nilai seni, pemikiran kritis serta keaslian sesebuah karya.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Ir Dr Rosalam Sarbatly berkata, keseimbangan antara kreativiti manusia, pemeliharaan tradisi dan kemajuan teknologi merupakan asas penting dalam membentuk masa depan industri seni dan kreatif yang lebih berdaya saing.
“Penggunaan teknologi AI berpotensi memperluas kaedah penciptaan karya, membantu proses penyelidikan, mempercepat pendokumentasian warisan serta membuka ruang baharu dalam penghasilan dan penyebaran kandungan kreatif.
“Dalam bidang seni visual, animasi, perfileman, muzik, teater, tari, fesyen dan reka bentuk, teknologi ini menawarkan pendekatan baharu yang boleh memperkaya proses kreatif serta memperluas peluang kepada pengkarya untuk meneroka idea dan bentuk ekspresi yang berbeza.
“Walau bagaimanapun, perkembangan ini turut membawa cabaran yang perlu diberikan perhatian, khususnya berkaitan etika penggunaan AI, hak cipta, pemilikan intelektual, keaslian karya dan tanggungjawab pengkarya,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Ts Dr Rayner Alfred, pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK) 2026 di Dewan Resital UMS, di sini, pada Rabu.
Katanya, tradisi bukan sekadar peninggalan masa lalu yang perlu dipelihara, sebaliknya merupakan khazanah ilmu, nilai dan identiti yang membentuk jati diri sesebuah masyarakat serta perlu terus diteliti, didokumentasikan dan dikembangkan agar kekal relevan kepada generasi akan datang.
“Dalam konteks ini, seni mempunyai peranan yang sangat penting sebagai medium untuk merakam pengalaman manusia, menyampaikan nilai budaya serta menggambarkan identiti sesebuah masyarakat.
“Seni juga menjadi ruang pertemuan antara warisan dan inovasi yang membolehkan sesuatu tradisi terus berkembang tanpa kehilangan asas dan keunikannya,” kongsinya.
Beliau berkata, Sabah khususnya mempunyai kepelbagaian warisan seni dan budaya yang amat bernilai, termasuk seni persembahan, muzik, tarian, kraf, busana tradisional, tekstil, seni visual serta amalan budaya masyarakat berbilang etnik.
Menurutnya, kekayaan warisan berkenaan bukan sahaja mempunyai nilai sejarah dan budaya, malah berpotensi menjadi sumber inspirasi kepada penyelidikan, penghasilan karya kreatif serta pembangunan industri seni dan budaya.
Sehubungan itu, beliau berharap PASTIK 2026 akan menjadi medan pertemuan yang produktif kepada para akademik, penyelidik, pengamal seni dan pemain industri untuk meneroka idea serta perspektif baharu dalam menghadapi perubahan dunia seni dan teknologi.



