
SANDAKAN – Kekurangan bekalan simen sejak dua hingga tiga bulan lalu menyebabkan industri pembinaan di Sandakan mengalami kelembapan serius, sekali gus berisiko menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi setempat.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Thien Ming berkata, keadaan itu jika berterusan boleh menyebabkan projek pembinaan tertangguh, pekerja berdepan pemberhentian atau penghentian kerja sementara, manakala kontraktor berisiko dikenakan penalti serta tuntutan pampasan akibat kelewatan menyiapkan projek.
Beliau berkata, pusat pengedaran simen Pantai Timur Sabah di Lahad Datu dilaporkan kehabisan stok sejak minggu lalu, menyebabkan pembekal diarahkan mengambil bekalan terus dari kilang Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd di Kota Kinabalu.
Katanya, kekurangan bekalan simen turut memberi kesan berantai kepada sektor ekonomi lain termasuk syarikat pengangkutan, pembekal bahan binaan, kontraktor, pekerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan sokongan.
“Apabila aktiviti pembinaan perlahan, kesannya bukan hanya kepada kontraktor dan pemaju. Pengangkut kehilangan perniagaan, pembekal bahan binaan mengalami penurunan jualan, pekerja mungkin kehilangan pendapatan dan PKS turut berdepan tekanan kewangan,” ujarnya.
Beliau turut difahamkan Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd dijangka memperluaskan barisan pengeluaran di fasiliti Kota Kinabalu tahun depan, namun mempersoalkan perancangan khusus bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran dan pengedaran simen di Lahad Datu untuk memenuhi keperluan Pantai Timur, khususnya Sandakan.
Katanya, Sandakan kekal sebagai antara destinasi pelancongan penting Sabah dengan sejarah, tarikan alam semula jadi dan reputasi sebagai syurga makanan, namun pembangunan sektor itu memerlukan infrastruktur sempurna, utiliti stabil, jalan raya baik serta persekitaran perniagaan kondusif.
Chong berharap menteri dan jabatan kerajaan berkaitan dapat mengadakan lawatan kerja ke Sandakan bagi melihat sendiri permasalahan yang dihadapi komuniti perniagaan, industri pembinaan dan penduduk setempat.
“Sandakan mempunyai potensi untuk berkembang, tetapi potensi sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan infrastruktur yang boleh dipercayai, bekalan bahan binaan penting yang konsisten dan campur tangan kerajaan yang berkesan.
“Kerajaan perlu bertindak segera menyelesaikan kekurangan simen serta menangani cabaran infrastruktur lebih luas. Kita tidak boleh membiarkan masalah ini terus menjejaskan keyakinan perniagaan, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi Sandakan,” jelasnya.



