
KOTA KINABALU – Mahasiswa bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi penggerak pembangunan negara melalui kepimpinan, inovasi dan kesukarelawanan
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Ts Dr Ajimi Jawan berkata, mahasiswa perlu mengimbangi kecemerlangan akademik dengan peranan sebagai pemacu pembangunan negeri dan negara.
Beliau berkata demikian ketika Program Nadi Aspirasi Nasional (NANBA) 2026 bertemakan ‘Belia Penentu Hala Tuju Negara’ di Dewan Tun Mustapha, UiTM Cawangan Sabah, hari ini.
Menurut Ajimi, tema berkenaan bertepatan dengan aspirasi Pelan Strategik UiTM2030 yang menekankan pembangunan profesional Bumiputera, kecemerlangan ilmu, keusahawanan serta sumbangan berimpak kepada negara.

“Program ini diharap dapat membuka ruang kepada mahasiswa untuk merebut peluang, membina potensi diri dan menterjemahkan nilai Malaysia MADANI melalui tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya turut menggalakkan mahasiswa supaya aktif menyertai kelab dan persatuan di universiti, selain melibatkan diri dalam persatuan belia di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Jangan tunggu sehingga tamat pengajian untuk mula membina masa depan. Masa depan anda sedang dibentuk melalui setiap keputusan dan tindakan yang diambil pada hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama strategik antara UiTM Cawangan Sabah dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Negeri Sabah menerusi penganjuran NANBA 2026 dapat diteruskan melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada mahasiswa dan masyarakat.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Sekretariat Rakan Muda UiTM Cawangan Sabah, Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Sabah dan Sahabat MADANI.



