
BEKAS Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mendakwa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dinyahklasifikasikan menunjukkan Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah cadangan membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Tony berkata, pendirian kedua-dua pihak itu dinyatakan dengan jelas dalam minit mesyuarat berkenaan yang dikongsikannya menerusi Facebook, hari ini.
Menurutnya, meskipun minit berkenaan bersifat formal dan ringkas, ia memperlihatkan pendirian setiap pihak yang terbabit dalam keputusan itu.
Beliau mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Hannah membantah cadangan tahanan rumah berkenaan, sekali gus mencerminkan pendirian kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, Yang di-Pertuan Agong tetap memperkenankan pengampunan berkenaan menggunakan kuasa prerogatif baginda meskipun keputusan itu bertentangan dengan bantahan kedua-dua pegawai terbabit.
Tony turut mendakwa Peguam Negara dan Hannah tidak memberikan sebarang ulasan terhadap draf perintah pengampunan bersyarat kerana tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.
Malah, katanya, Hannah meminta supaya pegawai lain menandatangani perintah itu bagi menggantikannya.
“Keputusan Yang di-Pertuan Agong, yang ditegaskan kerajaan sebagai prerogatif baginda di bawah undang-undang Malaysia, dihormati dan dilaksanakan kerajaan, meskipun ia bukan nasihat atau pendirian kerajaan kita,” katanya dalam hantaran itu.
Lima halaman dokumen yang dikongsikan Tony dipercayai merupakan petikan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64 yang berlangsung di Istana Negara pada 18 September lalu.
Dokumen bernombor halaman tiga, lima, enam, tujuh dan lapan itu tertera perkataan ‘Rahsia’ di bahagian kiri atas, manakala perkataan ‘Terbuka’ dan ‘Rahsia’ tertera di bahagian kanan bawah.
Minit berkenaan menunjukkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah selepas membayar denda RM50 juta.
Dokumen itu turut merekodkan ketidaksetujuan berhubung pihak yang sepatutnya menandatangani perintah pengampunan bersyarat berkenaan.
Pada 12 November lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan kepada Parlimen bahawa beliau akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri supaya minit mesyuarat berkenaan dinyahklasifikasikan.
Najib sebelum ini didapati bersalah pada Julai 2020 atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan 50 peratus terhadap hukuman penjara Najib kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan kepada RM50 juta.
Pada 18 September lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang mengumumkan Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong, memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Pada 6 November lalu, peguam bela Najib mengesahkan anak guamnya sudah membayar denda RM50 juta, namun pelaksanaan tahanan rumah ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berikutan kemungkinan wujud isu perundangan berkaitan perintah pembebasannya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian membenarkan pelaksanaan tahanan rumah itu pada 10 November lalu susulan permohonan AGC untuk menyemak semula perintah pembebasan terdahulu.


