Mahfuz
BARISAN Nasional (BN) perlu menjelaskan tindakan mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, sebelum Istana Negeri Sembilan mengesahkan ketulenan surat berkenaan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir mengumumkan perkara itu pada pukul 10 malam, 16 November lalu, menimbulkan persoalan mengenai peranan parti politik dalam menguruskan urusan pentadbiran negeri yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan.
Menurutnya, kenyataan Istana Negeri Sembilan bertarikh 17 November menjelaskan surat peletakan jawatan Ismail hanya diterima di Istana Hinggap pada pukul 12.16 tengah malam dan ketulenannya masih belum disahkan.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengapa BN begitu tergesa-gesa mengumumkan peletakan jawatan berkenaan sedangkan proses pengesahan oleh pihak istana masih belum selesai.
“Lebih menarik, Istana turut menjelaskan bahawa perkenan untuk Ismail menghadap Tuanku pada 20 November telah disampaikan melalui WhatsApp pada pukul 8.38 malam, iaitu 80 minit sebelum pengumuman BN dibuat.
“Justeru, mengapa BN begitu tergesa-gesa mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar sedangkan istana sendiri belum mengesahkan ketulenan surat dan proses perlembagaan masih belum selesai?” katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz turut membangkitkan beberapa perkembangan sepanjang kemelut politik berkenaan, termasuk pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, serta dakwaan Ismail bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen sehingga membuat laporan polis.
Beliau berkata, Ismail sebelum ini merupakan calon Menteri Besar yang diangkat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Zahid dan kepimpinan UMNO tampil memberikan penjelasan mengenai peranan mereka dalam kemelut berkenaan, termasuk jaminan bahawa calon Menteri Besar baharu tidak akan mengulangi episod sama.
“Parti politik berhak mencadangkan calon Menteri Besar, tetapi tidak boleh bertindak seolah-olah urusan pelantikan dan peletakan jawatan itu berada di bawah kuasa parti semata-mata.
“Negeri Sembilan tidak boleh terus menjadi mangsa percaturan politik yang tidak berkesudahan,” katanya.
Mahfuz menegaskan bahawa prinsip Raja Berperlembagaan perlu dihormati bukan sekadar melalui adat istiadat, sebaliknya dengan memahami batas kuasa, mematuhi proses serta tidak mendahului institusi yang mempunyai kuasa menurut perlembagaan.
Beliau turut menyifatkan perkembangan yang berlaku, termasuk penarikan balik surat, dakwaan paksaan, laporan polis dan persoalan mengenai status surat peletakan jawatan, sebagai kemelut yang memerlukan penjelasan menyeluruh.
“Ismail mungkin meletakkan jawatan, tetapi persoalan tanggungjawab Zahid dan UMNO terhadap krisis Negeri Sembilan masih belum terjawab,” katanya.



