BANDA HILIR – Hasrat membantu 500 anak daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan persekolahan memerlukan tambahan dana RM35,000 bagi menjayakan Program Bantuan Kembali ke Sekolah di Kota Siputeh, Kedah.
Jumlah itu diperlukan selepas hanya RM15,000 berjaya dikumpulkan daripada sasaran keseluruhan RM50,000 yang ditetapkan bagi program berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, setiap penerima disasarkan memperoleh bantuan RM100 bagi meringankan beban keluarga membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan.
“Program ini, saya laksanakan sejak diberikan amanah sebagai wakil rakyat dan kini sudah memasuki tahun keempat, dengan jumlah penerima meningkat setiap tahun.
“Daripada 100 penerima pada tahun pertama, 150 penerima tahun kedua dan 300 penerima tahun ketiga dan kali ini kita menyasarkan 500 anak-anak daripada keluarga B40, asnaf dan kurang berkemampuan menerima sumbangan RM100 setiap seorang,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di TikToknya, pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau merayu orang ramai, golongan dermawan dan sahabat handai supaya bersama-sama membantu mencukupkan baki dana RM35,000 yang masih diperlukan.
“Setiap sumbangan, tanpa mengira jumlah, dapat membantu menjayakan usaha tersebut. Tidak kiralah RM10, RM20, RM50 atau RM100. Sedikit daripada kita, besar maknanya buat mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ashraf berkata, program tahun ini turut diserikan dengan penganjuran sulung Meko Education Fair 1.0 atau Kodiang Education Fair yang memberi tumpuan kepada pendedahan peluang pendidikan kepada anak-anak di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pameran itu menyediakan ruang untuk mereka mendapatkan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), biasiswa serta hala tuju pendidikan.
“Kita bukan sekadar mahu meringankan beban ibu bapa, tetapi mahu melihat anak-anak ini mempunyai peluang dan masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Mohd Ashraf turut mengajak mereka yang belum berkemampuan menyumbang supaya membantu menyebarkan rayuan berkenaan.
“Semoga setiap sumbangan menjadi asbab terbukanya masa depan yang lebih cerah buat anak-anak Kota Siputeh,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 02039010111308 atas nama Persatuan Kerjasama Penduduk DUN Kota Siputeh dengan rujukan BANTUPENDIDIKANKS.



