
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal meraikan 5,081 graduan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah Ke-28 yang dijadualkan berlangsung dari 28 November 2026 hingga 1 Disember 2026.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin berkata, penganjuran majlis itu diharapkan dapat dilaksanakan mengikut jadual serta berjalan lancar.
“Seramai 5,081 graduan akan menerima pengiktirafan selepas berjaya menamatkan pengajian daripada pelbagai peringkat termasuklah diploma, sarjana muda dan pascasiswazah.
“Konvokesyen berkenaan turut membawa makna tersendiri kepada keluarga graduan yang berpeluang menyaksikan sendiri hasil usaha dan pengorbanan anak-anak mereka sepanjang menuntut ilmu.
“Saya memaklumkan bahawa UMS telah melahirkan kira-kira 100,000 alumni sejak penubuhannya, sekali gus mencerminkan sumbangan universiti itu dalam melahirkan graduan daripada pelbagai bidang pengajian,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini pada Sabtu.

Menurut Raman daripada jumlah berkenaan, 5,081 graduan bakal menambah kelompok alumni universiti itu menerusi majlis konvokesyen yang akan datang.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.



