
BUKIT MERTAJAM – Kerajaan MADANI terus memberikan perhatian terhadap pembangunan Pulau Pinang menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik bagi memperkukuh infrastruktur, meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan memperluas akses perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
Komitmen Kerajaan Persekutuan itu turut melengkapi usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memperuntukkan RM280.17 juta bagi melaksanakan 514 projek pembangunan pada 2027, meliputi kemudahan awam, pembangunan sukan dan projek strategik ekonomi.
Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ooi Boon Sheng berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Pulau Pinang tidak tercicir daripada arus pembangunan negara, katanya.
“Kerajaan Persekutuan terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan pembangunan negeri Pulau Pinang sentiasa diberikan perhatian.
“Khususnya melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik yang bertujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur, memperkukuh sistem pengangkutan, memperluas akses perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung pada Program MADANI Kita (PMK) 2026 Bersama-sama Komuniti Bukit Tengah @ Batu Kawan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Bin, di sini hari ini.
Menurutnya, antara projek utama yang mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri ialah Projek Penyuraian Trafik antara Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di Lebuhraya Utara-Selatan bagi mengurangkan kesesakan serta melancarkan pergerakan pengguna jalan raya.

Katanya, pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara pula bakal memperkukuh jaringan pengangkutan awam, manakala pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak serta Blok Klinik Pakar dan Wad Hospital Pulau Pinang dijangka meningkatkan kapasiti dan mutu perkhidmatan kesihatan.
Selain itu, beliau berkata, perhatian turut diberikan kepada pembangunan modal insan menerusi Projek Rintis STEM melalui Penang STEM Talent Blueprint serta usaha menaik taraf Taman Awam Negeri Pulau Pinang bagi menyediakan kemudahan rekreasi lebih selesa kepada masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ooi berkata, komitmen Kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan rakyat turut diterjemahkan melalui Belanjawan 2027 apabila peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion sebelum ini.
Menurutnya, sebanyak RM700 juta turut disediakan bagi memperkasakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) secara lebih bersasar dengan sasaran 30,000 penganjuran di seluruh negara, khususnya di kawasan yang benar-benar memerlukan.
“Kerajaan MADANI turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi memperluas pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI kepada 5,000 program di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu membolehkan rakyat mendapatkan produk agromakanan terpilih pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran setempat, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan harian isi rumah.
Sementara itu, Ooi berkata, kepesatan pembangunan Batu Kawan dan Bukit Tengah dalam sektor perindustrian, perniagaan serta perumahan perlu diseimbangkan dengan usaha menjaga kebajikan penduduk setempat.
“Kita mahu pembangunan yang seimbang, dengan kemudahan infrastruktur yang baik, persekitaran yang selesa, peluang ekonomi yang lebih luas serta perkhidmatan awam yang cekap,” katanya.


