
ROMPIN – Seramai 50 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muadzam Shah menerima sumbangan cermin mata menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertemakan Koperasi Prihatin, Murid Sejahtera, semalam.
Program itu adalah kolaborasi strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang dan Koperasi MRSM Muadzam Shah Rompin Berhad.
Pengarah SKM negeri, Mohd Firdaus Shaari berkata, program berkenaan adalah terjemahan praktikal kepada prinsip koperasi ketujuh iaitu prihatin terhadap masyarakat.
“Koperasi tidak hanya ditubuhkan untuk mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya disokong oleh nilai sejagat seperti tolong-menolong, tanggungjawab bersama dan solidariti,” katanya ketika merasmikan program itu.
Turut hadir Pegawai MARA Daerah Rompin, Muhammad Ariff Nazron; Pengetua MRSM Muadzam Shah, Syarimasni Shamsuddin; Pengerusi Koperasi MRSM Muadzam Shah Rompin Berhad, Azizul Rahman Awang Maharum dan Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Muadzam Shah, Norazman Amat Kalam.

Mohd Firdaus berkata, koperasi sekolah bukan sekadar tempat berniaga, malah menjadi platform melatih pelajar dalam literasi kewangan, pengurusan perniagaan dan tadbir urus telus.
Menurutnya, skop Koperasi MRSM lebih holistik berbanding sekolah harian biasa apabila merangkumi perkhidmatan dobi, kedai runcit, kafeteria, sewaan jubah dan rumah tamu, sekali gus memberi pendedahan pengurusan korporat yang komprehensif kepada pelajar.
Pemberian cermin mata itu pula, jelasnya, dilihat mampu menyelesaikan kekangan fizikal pelajar di dalam kelas, membolehkan mereka lebih fokus, selesa dan mencapai kecemerlangan akademik.
Pada majlis itu, Koperasi MRSM Muadzam Shah Rompin Berhad turut menerima penghargaan atas pencapaian menduduki tempat kedua dalam Indeks Koperasi Sekolah Terbaik Negeri Pahang 2026 dan tempat ke-13 dalam Indeks 100 Koperasi Sekolah Terbaik Malaysia 2026.
Mohd Firdaus turut menasihatkan pelajar yang menerima sumbangan supaya memanfaatkan kemudahan itu untuk belajar dengan lebih tekun dan pada masa depan kembali menyumbang kepada masyarakat.



