
MELAKA – Kehadiran pasangan warga emas, Sim Cheng Teng, 72, bersama isterinya, Tan Hock Lee, 71, yang membawa cucu mereka, Eyvon, berusia tiga tahun, ke pusat mengundi di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Aliah Kubu di sini, hari ini, menarik perhatian orang ramai.
Sim yang merupakan pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dan berasal dari Kampung Ujong Pasir berkata, mereka membawa kanak-kanak itu bersama kerana ibu bapanya bekerja serta tiada individu lain yang dapat menjaganya di rumah.
“Saya bawa cucu kerana emaknya bekerja, bapanya juga bekerja dan tiada orang yang dapat menjaganya,” katanya ketika The Malaysia Press (TMP) ditemui di pekarangan pusat mengundi berkenaan.
Dia yang sudah empat hingga lima kali mengundi di pusat pengundian itu tetap komited menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi meskipun perlu menguruskan cucunya.
Sementara itu, Tan berharap wakil rakyat yang dipilih kelak dapat membantu meringankan beban rakyat, khususnya dengan mengawal serta menurunkan harga barangan keperluan.
“Harga barang semakin pula mahal, kami dan anak-anak juga berdepan kesukaran. Jika boleh, turunkanlah sedikit harga barang supaya lebih murah, sekali gus membolehkan rakyat hidup lebih senang dan aman,” katanya.
DUN Kota Laksamana menyaksikan seramai 34,066 pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kali ini.
Secara keseluruhan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 menyaksikan seramai 687,697 pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 28 kerusi DUN, membabitkan saingan 79 calon daripada pelbagai parti politik serta calon Bebas.
Daripada jumlah itu, seramai 675,166 adalah pengundi biasa, manakala baki 12,531 terdiri daripada anggota tentera bersama pasangan serta anggota polis yang sudah menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian awal, 10 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran di seluruh negeri yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang hari ini.
