MELAKA – Seramai 27 peratus daripada 1,022 pengundi berdaftar di Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Al-Aliah Kubu menunaikan tanggungjawab mengundi setakat jam 12 tengahari tadi.
Proses pengundian di pusat berkenaan yang membabitkan dua saluran bermula jam 8 pagi dan berlangsung lancar tanpa sebarang masalah.
Tinjauan The Malaysia Press (TMP)mendapati, kebanyakan pengundi yang hadir terdiri daripada golongan warga emas, manakala suasana di sekitar pusat mengundi terkawal dengan urusan keluar masuk pengundi berjalan teratur.
Kerjasama baik antara petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkaitan turut membantu memastikan kelancaran proses pengundian.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 hari ini, sebanyak 240 pusat mengundi membabitkan 1,213 saluran dibuka di seluruh negeri bagi membolehkan 675,166 pengundi biasa menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Secara keseluruhan, seramai 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN kali ini termasuk anggota tentera dan pasangan serta anggota polis yang telah mengundi awal pada Selasa lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kira-kira 70 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN kali ini.

