
SHAH ALAM – Kira-kira 70,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Selangor bakal menikmati kemudahan makanan percuma menerusi inisiatif khas Nutrisi Selangor (NutriSel) bagi membantu memastikan kebajikan dan keperluan pemakanan mereka sepanjang tempoh peperiksaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu dirancang khusus untuk memastikan semua pelajar Tingkatan Lima mendapat bekalan makanan bersesuaian, terutama ketika menduduki peperiksaan mata pelajaran teras.
“Sepanjang peperiksaan itu, kita akan sediakan makanan pagi atau makanan sewajarnya (tengah hari) kepada anak-anak ini supaya mereka dapat memasuki dewan peperiksaan tanpa halangan serta menambah semangat mereka untuk menjawab soalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan pek makanan Program NutriSel di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, inisiatif khas berkenaan merupakan peluasan Program NutriSel yang dilaksanakan sejak Ogos lalu bagi membantu memenuhi keperluan pemakanan 104,640 murid sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Program berkenaan membabitkan peruntukan melebihi RM12.5 juta, dengan RM7.82 juta disumbangkan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala RM4.73 juta lagi diperuntukkan menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan Mega NutriSel dengan mengagihkan roti dan susu kotak secara percuma kepada 993,670 murid di 962 sekolah seluruh Selangor.
Inisiatif dengan kerjasama rakan strategik, Farm Fresh dan Gardenia itu akan diteruskan sehingga 6 atau 7 November ini sebagai tanda sokongan kepada semua murid menjelang peperiksaan SPM.
Katanya, pengagihan Mega NutriSel dibuat sekali kepada setiap murid dengan peruntukan berbeza berbanding program NutriSel asas yang memberi tumpuan kepada golongan B40.
Malah, kawasan Shah Alam sahaja melibatkan hampir 125,000 murid yang menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan.



