
KUALA LUMPUR – Penetapan syarat simpanan minimum RM15,000 bagi menerima tawaran menunaikan haji dibuat selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menaikkan bayaran pendaftaran asas dan meningkatkan deposit kelayakan automatik mengikut kos semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif menerusi Pelan Persediaan Haji Seruan Istito’ah itu bertujuan membentuk disiplin kewangan serta menggalakkan bakal jemaah membuat persediaan awal sebelum menunaikan ibadah haji.
“Untuk pengetahuan semua, ketetapan ini juga merupakan antara syor RCI.
“Pengalaman Tabung Haji (TH) sebelum ini menunjukkan ramai bakal jemaah tidak membuat persediaan secukupnya apabila lebih 50 peratus daripada tawaran haji dimohon untuk ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Menurutnya, keadaan itu menjejaskan kecekapan pengurusan giliran haji apabila TH terpaksa membuat tawaran gantian berulang kali dalam tempoh singkat.
Bagaimanapun, pelaksanaan syarat simpanan RM15,000 berserta peringatan awal berjaya mengurangkan kadar penangguhan tawaran haji kepada 18 peratus.
Zulkifli berkata, syarat simpanan minimum RM1,300 yang berkuat kuasa sejak 1995 ditambah baik bagi memastikan bakal jemaah membuat persediaan kewangan lebih awal, sejajar dengan prinsip istito’ah atau kemampuan menunaikan haji.
Dalam pada itu, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan kebimbangan bahawa syarat baharu berkenaan boleh membebankan pendeposit, khususnya golongan luar bandar.
Mereka turut meminta kerajaan mempertimbangkan mekanisme lebih fleksibel bagi membolehkan pendeposit mengekalkan giliran haji masing-masing.
Menjawab kebimbangan itu, Zulkifli berkata, pendeposit sedia ada diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencukupkan baki simpanan kepada RM15,000 bagi mengekalkan giliran masing-masing.
Katanya, simpanan minimum berkenaan juga masih layak menerima agihan keuntungan tahunan TH.



