
SRI AMAN – Bahagian Sri Aman bakal menjadi tumpuan menerusi penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.
Program berskala besar yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Sri Aman itu bakal menghimpunkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, keusahawanan dan hiburan, selain menyediakan akses kepada perkhidmatan kerajaan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee berkata, pelbagai pengisian telah disusun bagi memastikan penganjuran program berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya penduduk Sri Aman dan kawasan sekitarnya.
Menurutnya, antara tarikan utama ialah konsert rakyat, Malam Budaya Sarawak, Sri Aman Kitchen and Sales serta acara Fun Walk berbusana tradisional yang dijangka memeriahkan suasana sepanjang program berlangsung.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bahagian Program SKS di Sri Aman, pada Isnin.
Chang Kee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program SKS berkata, pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah e-Peraduan, termasuk sebuah kereta Perodua Bezza, motosikal, barangan elektrik dan barangan kemas.
Dalam pada itu, program bertemakan ‘Jaga Sarawak – Intu Sarawak’ itu turut menyediakan pameran serta kaunter perkhidmatan daripada pelbagai agensi bagi memudahkan urusan masyarakat.
Penganjuran berkenaan turut membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan makanan, produk dan hasil jualan masing-masing kepada pengunjung.
Selain menjadi platform penyampaian perkhidmatan kerajaan, SKS 2026 turut menyediakan ruang interaksi antara agensi, pemimpin masyarakat dan penduduk menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang.
Majlis perasmian program itu dijadual disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Sabtu.
Orang ramai khususnya penduduk Sri Aman dan kawasan sekitarnya dialu-alukan hadir bagi memanfaatkan pelbagai kemudahan serta memeriahkan penganjuran program berkenaan.
Foto: RTM Sri Aman



