PH belum ‘kunci pintu’, kerjasama baharu di Melaka masih terbuka

AYER KEROH – Pakatan Harapan (PH) tidak menutup kemungkinan kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan tujuh kerusi yang belum diisi berpotensi menjadi sebahagian daripada pertimbangan politik menjelang penamaan calon.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, pintu untuk bersama pelbagai parti selain PH tidak pernah tertutup, malah masih ada ruang untuk keputusan lain dibuat dalam tempoh enam hari sebelum penamaan calon.

Menurut beliau, keputusan PH bertanding di 21 kerusi dibuat berdasarkan pertimbangan strategik, termasuk peluang kemenangan, kekuatan jentera dan kemampuan parti menggerakkan sumber yang ada.

“Kita tak pernah tutup kemungkinan (bersama parti lain). Kita akan tengoklah dalam tempoh beberapa hari ini apa keputusan-keputusan lain yang boleh dibuat. Kita masih ada baki enam hari sebelum penamaan calon, jadi banyak benda boleh berlaku lagi.

“Kita tanding 21 itu atas dasar kekuatan kita secara strategik, dekat mana yang kita rasakan bahawa peluang kita lebih baik, gerak kerja kita lebih lengkap, dan jentera kita lebih bersedia. Itu antara faktornya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program MADANI Kita (PMK) Komuniti Ayer Keroh@Hang Tuah Jaya, pada Ahad yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali.

Dalam pada itu, Adam berkata, PKR dan PH mahu memastikan jentera di peringkat cabang dan Parlimen dapat memberikan tumpuan kepada kawasan yang telah diusahakan bagi menyampaikan kekuatan calon dengan lebih berkesan.

“Itu antara sebab dan akhirnya kita datang dengan angka yang kebetulan sama dengan Barisan Nasional, 21 juga (kerusi pada PRN Melaka).

“Yang selebihnya, tujuh masih belum diisi. Tentu sekali mungkin akan ada dinamik saat-saat akhir, wallahuaklam. Tapi saya yakin tak ada kerusi yang akan kosong tanpa perlawanan,” katanya.

Pada Sabtu, PH mengumumkan akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Daripada jumlah itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di sembilan kerusi, DAP tujuh kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) lima kerusi.

Pengumuman senarai calon berkenaan dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada majlis pengumuman calon di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, pada Sabtu.

Tujuh kerusi yang tidak diumumkan ialah N03 Ayer Limau, N04 Lendu, N05 Taboh Naning, N11 Sungai Udang, N12 Pantai Kundor, N21 Duyong dan N24 Bemban.

Antara nama yang diumumkan ialah Adly Zahari bagi DUN Bukit Katil, Datuk Azman Abidin (Paya Rumput), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Durian Tunggal) dan Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya).
Turut disenaraikan ialah Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah (Kuala Linggi), Mohd Yunazri Mustamiri (Tanjung Bidara), Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan (Rembia), Jegasilan K. (Gadek) dan Denesh A/L Palasubramaniam (Asahan).

Calon lain ialah Farzana Hayani Mohd Nasir (Kelebang), Jason Tze-Xi Nathan (Pengkalan Batu), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek), Seah Shoo Chin (Kesidang) dan Low Chee Leong (Kota Laksamana).

Senarai itu turut membariskan Poo Long Suan (Duyong), Leng Chau Yen (Bandar Hilir), Kapten (B) Mohamad Jaafar (Telok Mas), Esma Eazreen Husin (Rim), Muhammad Faiq Azman (Serkam) dan Rahayu Hamzah (Merlimau).

Pada PRN Melaka 2021, PH hanya memenangi lima kerusi, masing-masing empat menerusi DAP dan satu Amanah, manakala PKR gagal memperoleh sebarang kerusi.

BN pula mencatat kemenangan besar dengan menguasai 21 kerusi, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga, sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi dua kerusi.

DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN ke-16 yang dijadual berlangsung pada 14 November ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.

Related Posts

Kewibawaan Akmal dipersoal, ramai mula sokong Ayu di Merlimau

KEWIBAWAAN Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau sejak akhir-akhir ini menjadi persoalan netizen apabila calon Pakatan Harapan (PH), Rahayu Hamzah atau…

Lebih lanjut

teruskan membaca
“Keluar sahaja daripada BN” – DAP cabar MCA

PEMIMPIN DAP mencabar MCA keluar daripada gabungan BN atau mengusahakan pembubaran gabungan itu, bukannya sekadar bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap cara parti itu dilayan dalam isu pembahagian kerusi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Warisan layang-layang perlu terus dipelihara generasi muda – Hasbi

Warisan layang-layang perlu terus dipelihara generasi muda – Hasbi

Kewibawaan Akmal dipersoal, ramai mula sokong Ayu di Merlimau

Kewibawaan Akmal dipersoal, ramai mula sokong Ayu di Merlimau

Pelajar Tingkatan Enam terima elaun mulai semester pertama

Pelajar Tingkatan Enam terima elaun mulai semester pertama

“Keluar sahaja daripada BN” – DAP cabar MCA

“Keluar sahaja daripada BN” – DAP cabar MCA

PMK dibanjiri masyarakat, cerminan sokongan kepada Kerajaan MADANI

PMK dibanjiri masyarakat, cerminan sokongan kepada Kerajaan MADANI

‘Jangan angkuh seperti dinosaur’, amaran buat UMNO di Kuala Linggi

‘Jangan angkuh seperti dinosaur’, amaran buat UMNO di Kuala Linggi