
KUALA LUMPUR – Filem kategori 18 masih tertakluk pada garis panduan penapisan yang berkuat kuasa dan tidak boleh menayangkan sebarang kandungan tanpa batasan, meskipun pendekatan baharu membenarkan babak tertentu dikekalkan.
Kementerian Komunikasi memaklumkan Lembaga Penapis Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus menilai kandungan filem berdasarkan aspek keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.
“Pendekatan membenarkan filem kategori 18 ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu merupakan anjakan kaedah kawalan daripada pemotongan babak kepada klasifikasi berdasarkan kesesuaian umur penonton, dan bukannya pelonggaran kawalan kandungan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.
Kenyataan itu menjawab soalan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) yang meminta penjelasan mengenai pendirian kementerian berhubung langkah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tidak lagi memotong babak dalam filem kategori PG18 atas alasan keterbukaan.
Menurut kementerian itu, menerusi pendekatan berkenaan, filem yang memenuhi syarat boleh ditayangkan tanpa pemotongan babak tertentu, namun masih perlu mematuhi klasifikasi umur yang ditetapkan.
Katanya, Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) 2024 memperincikan kategori klasifikasi berdasarkan kesesuaian umur penonton bagi membolehkan orang dewasa membuat pilihan yang bijak terhadap filem yang ingin ditonton.
“Pendekatan ini juga bertujuan mendidik dan melindungi remaja serta kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka dan boleh menjejaskan tingkah laku mereka.
“Ia turut meletakkan tanggungjawab kepada ibu bapa untuk mengawal dan membimbing anak-anak dalam memilih kandungan yang sesuai,” menurut kementerian itu.
Dalam pada itu, FINAS dan LPF akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan sistem klasifikasi filem dinilai dari semasa ke semasa supaya kekal relevan dengan perkembangan industri serta landskap kandungan semasa.




