
MELAKA – Seramai 3,435 anggota polis akan digerakkan bagi mengawal keselamatan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, dengan 1,500 daripadanya merupakan anggota bantuan dari luar kontinjen negeri itu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penugasan itu merangkumi anggota kontinjen Melaka serta bantuan luar yang akan diselaraskan oleh Bukit Aman bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.
“Kita juga meminta bantuan luar sekitar 1,500 anggota untuk membantu penugasan bagi pilihan raya ini,” katanya selepas Taklimat Sempena PRN Melaka Ke-16, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyediakan pasukan khas yang menggunakan teknologi seperti dron dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memperkukuh kawalan keselamatan serta memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.
Sementara itu, Dzulkhairi berkata, seramai 2,764 pegawai dan anggota kontinjen negeri terbabit dalam proses pengundian awal, termasuk pengundian pos.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November.
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.
Jumlah pemilih berdaftar di Melaka setakat 20 April lalu ialah 683,543 orang, berbanding 495,195 pemilih pada PRN 2021.





