
PUTRAJAYA – Perjalanan hidup Mohd Khairul Ikwan Hamzah membuktikan ekonomi gig mampu menjadi platform mengubah kehidupan apabila bekas pembantu restoran itu kini mampu membina masa depan lebih stabil sebagai pemandu e-hailing sepenuh masa bersama Maxim.
Khairul, yang baru beberapa bulan bergelar pemandu rakan kongsi Maxim, mengambil keputusan menceburi bidang e-hailing selepas mencari peluang pekerjaan lebih baik bagi memperbaiki keadaan kewangan diri dan keluarga.
Menurutnya, kerjaya baharu itu bukan sahaja membuka peluang pendapatan, malah memberi ruang untuk dia membantu ibu bapa dan menyumbang kepada keperluan keluarga.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu restoran dan saya mahu mencari peluang yang lebih baik untuk memperbaiki kehidupan saya.
“Saya nampak potensi untuk menjana pendapatan dan berusaha ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.
Khairul berkata, faktor utama menarik minatnya untuk kekal dalam industri e-hailing adalah fleksibiliti masa bekerja.
Katanya, sebagai pemandu sepenuh masa, dia bebas menguruskan jadual harian mengikut keperluan sendiri, sekali gus memberi lebih kawalan terhadap masa dan pendapatan.
“Apa yang saya suka tentang pekerjaan ini adalah fleksibilitinya. Saya bebas menguruskan waktu bekerja dan memilih hari yang saya mahu bekerja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairul menyifatkan keputusannya bersama Maxim bukan sekadar soal kewangan, sebaliknya didorong rasa tanggungjawab terhadap keluarga.
“Saya gembira kerana dapat melihat diri saya bergerak ke arah kehidupan yang lebih baik. Ia bukan sekadar memperbaiki keadaan saya sendiri, tetapi juga tentang dapat membantu ibu bapa saya,” katanya.
Mengulas mengenai prospek ekonomi gig, Khairul percaya industri tersebut mempunyai masa depan cerah berikutan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kebajikan pemandu e-hailing.
Dia turut menyambut baik pelbagai bentuk sokongan yang disediakan kerajaan, termasuk program subsidi petrol bersasar RON95 BUDI95 yang membantu pemandu yang layak menguruskan kos operasi.
Menurutnya, bahan api merupakan kos utama bagi pemandu e-hailing dan bantuan seumpama itu mampu meringankan tekanan kewangan, khususnya bagi pemandu baharu yang sedang membina kestabilan dalam industri.
Sementara itu, Maxim dalam kenyataan memaklumkan platform itu terus komited menyediakan peluang kepada individu untuk menjadi pemandu rakan kongsi dan menyertai ekonomi gig yang semakin berkembang.
Bagi pemandu seperti Khairul, peluang tersebut dilihat bukan sekadar pekerjaan baharu, sebaliknya langkah penting ke arah meningkatkan kualiti hidup dan membina masa depan yang lebih baik bersama keluarga.





