Festival Saga Nusantara satukan warisan Melanau, Jawa di Mukah

MUKAH – Keunikan budaya Melanau dan Jawa menjadi tarikan utama Festival Saga Nusantara (SNF) 2026 yang julung kali dianjurkan di Mukah selama lima hari bermula 21 hingga 25 Oktober ini.

Penganjuran festival berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan kebudayaan antara Malaysia dan Indonesia, selain mengetengahkan keunikan warisan serumpun sebagai tarikan pelancongan budaya di Sarawak.

Koordinator SNF 2026, Nur Faydzyah Abdul Aziz berkata, pemilihan Mukah sebagai lokasi penganjuran merupakan peluang untuk memperkenalkan keistimewaan budaya masyarakat Melanau kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, festival itu menghimpunkan pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen kebudayaan, kesenian, makanan tradisional dan penglibatan komuniti setempat.

“Saga bermaksud kisah, manakala Nusantara merujuk kepada penceritaan serumpun.

“Menerusi festival ini, pelbagai pengisian disediakan seperti Pasar Nusantara yang mengetengahkan makanan tradisional Melanau dan Jawa, bengkel kebudayaan, persembahan kebudayaan serta aktiviti komuniti bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena penganjuran SNF 2026, pada Khamis.

Nur Faydzyah berkata, festival berkenaan turut menampilkan penyertaan penggiat seni dari Indonesia, termasuk pemuzik dan penerbit muzik Alffy Rev, penyanyi Novia Bachmid serta Farhad.

Menurutnya, kehadiran penggiat seni berkenaan membuka ruang untuk memperkenalkan kepelbagaian warisan muzik dan kebudayaan Nusantara kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Sementara itu, Alffy Rev menyifatkan penglibatannya dalam festival tersebut sebagai satu penghormatan kerana dapat menggabungkan elemen muzik tradisional dan moden melalui persembahan berteraskan identiti Nusantara.

“Nusantara mengikat kita semua kerana kita mempunyai banyak persamaan dari segi akar budaya dan muzik.

“Persembahan yang dibawakan menyatukan muzik warisan nenek moyang dengan elemen moden bagi menarik minat generasi muda,” katanya.

Dalam pada itu, majlis perasmian festival dijadual berlangsung pada Sabtu, 24 Oktober dengan kehadiran wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Konsulat Jeneral Republik Indonesia.

Festival berkenaan turut menampilkan persembahan kebudayaan daripada pelbagai kumpulan termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah, Sri Ritma Borneo dan Universitas Tanjungpura, Pontianak.

Selain persembahan kesenian, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan sepanjang festival berlangsung.

Penganjuran SNF 2026 dijadual melabuhkan tirainya pada Ahad, 25 Oktober menerusi acara larian santai (Fun Run) yang melibatkan penyertaan komuniti dan pengunjung.

Festival itu diharap dapat memperkukuh hubungan kebudayaan masyarakat serumpun, di samping meningkatkan potensi Mukah sebagai destinasi pelancongan warisan di Sarawak.

Related Posts

Saberkas mahu pemimpin muda bawa idea segar pacu pembangunan belia

KUCHING – Penglibatan pemimpin muda yang membawa idea segar dan pendekatan baharu perlu terus diperkukuh bagi memastikan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) kekal relevan dalam memperjuangkan pembangunan generasi muda…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kadar tambang ECRL berpatutan, mampu milik

KUANTAN – Harga tiket bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditetapkan pada kadar bersesuaian dan mampu milik, termasuk golongan berpendapatan rendah (B40). Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Saberkas mahu pemimpin muda bawa idea segar pacu pembangunan belia

Saberkas mahu pemimpin muda bawa idea segar pacu pembangunan belia

Festival Saga Nusantara satukan warisan Melanau, Jawa di Mukah

Festival Saga Nusantara satukan warisan Melanau, Jawa di Mukah

Kadar tambang ECRL berpatutan, mampu milik

Kadar tambang ECRL berpatutan, mampu milik

Malaysia pantau tindakan Indonesia terhadap syarikat disyaki terbabit kebakaran hutan

Malaysia pantau tindakan Indonesia terhadap syarikat disyaki terbabit kebakaran hutan

Malaysia berhak tuntut tindakan berkesan tangani jerebu rentas sempadan – Arthur

Malaysia berhak tuntut tindakan berkesan tangani jerebu rentas sempadan – Arthur

PRN Sarawak makin hangat, GPS mungkin umum esok

PRN Sarawak makin hangat, GPS mungkin umum esok