
KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam bukan semata-mata berdasarkan negara asal teknologi itu, sebaliknya turut mengambil kira undang-undang yang mengawal selia data pengguna.
Majlis Keselamatan Negara (MKN), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan data adalah aset strategik negara dan kerajaan tidak akan berkompromi apabila data rakyat serta kedaulatan maklumat negara tertakluk kepada bidang kuasa rejim Israel yang tidak diiktiraf Malaysia.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan dua pertimbangan utama, iaitu skop data terperinci yang dikumpulkan Waze, termasuk lokasi, pergerakan, perjalanan dan maklumat peranti pengguna.
Pertimbangan kedua ialah kemas kini terma penggunaan Waze yang menetapkan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang Israel dan bidang kuasa eksklusif mahkamah di Tel Aviv.
“Larangan ini tidak membabitkan Google Maps kerana aplikasi itu berpangkalan di Amerika Syarikat dan tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan.
“Kedudukan ini berbeza daripada Waze yang terikat kepada undang-undang Israel,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, penjawat awam dan orang ramai disarankan menyahpasang Waze daripada peranti masing-masing kerana pengumpulan data masih boleh berlaku walaupun aplikasi berkenaan tidak digunakan secara aktif.
MKN berkata, kerajaan mengambil pendekatan berfasa dengan mengimbangi keperluan keselamatan negara serta hak dan kebebasan rakyat untuk membuat pilihan.
Fasa pertama memberi tumpuan kepada pelaksanaan larangan dalam kalangan penjawat awam dan usaha meningkatkan kesedaran awam, manakala keberkesanan langkah itu akan dinilai dari semasa ke semasa sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
Dalam pada itu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan terus menilai produk dan aplikasi lain, khususnya yang tertakluk kepada undang-undang Israel.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya risiko yang sama dikenal pasti.
“Seiring dengan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), penyalahgunaan data pergerakan dan corak perjalanan oleh pihak berniat jahat berpotensi menimbulkan ancaman serius,” menurut kenyataan itu.
MKN turut mengingatkan bahawa keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama dan setiap individu perlu memainkan peranan dalam melindungi data masing-masing.
Sementara itu, aplikasi navigasi tempatan TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mencatatkan lebih 700,000 muat turun sejak semalam.
TuJu versi 2.0 kini tersedia untuk peranti Android, manakala versi iOS dijangka diperkenalkan pada hujung bulan ini.
Bagi memastikan keselamatan aplikasi tempatan, LLM selaku ketua sektor pengangkutan diwajibkan mematuhi Akta Keselamatan Siber 2024, termasuk kod amalan yang ditetapkan.
Data pengguna TuJu pula disimpan pada pelayan milik LLM.
NACSA turut mengeluarkan arahan Ketua Eksekutif NACSA yang merangkumi keperluan pengujian tertentu bagi aplikasi yang dibangunkan secara tempatan.





