
SELEPAS menerima lebih RM45,000 sumbangan orang ramai, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersikap ‘carca marba’ apabila kini meminta bantuan itu dihentikan.
Sebaliknya mahu menanggung sendiri beban kewangan susulan kekalahan dalam kes saman fitnah membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Muhamad Akmal berkata, beliau tidak mahu terus menerima wang orang ramai kerana mahu berusaha sendiri mendapatkan wang menerusi penjualan aset peribadinya, termasuk motosikal X-ADV dan ikan tilapia.
Menurutnya, sumbangan sebanyak RM45,102.18 yang diterima setakat ini kebanyakannya diberikan orang ramai atas dasar mahu membantunya, bukannya khusus untuk membeli aset yang ingin dijualnya.
“Saya sangat-sangat berterima kasih, tetapi niat saya adalah untuk berusaha terlebih dahulu menjual aset saya iaitu motor dan ikan saya.
“Saya sejujurnya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak untuk membantu saya kerana saya akan bertanggungjawab sepenuhnya, maka insya-Allah saya akan tanggung sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Khamis.
Dr Muhamad Akmal turut meminta orang ramai supaya tidak lagi memasukkan wang ke akaun banknya, selain menarik semula nombor akaun yang dikongsikan dalam hantaran terdahulu.
“Saya mohon untuk jangan masukkan lagi duit ke akaun saya agar saya tidak rasa bersalah dengan semua.
“Tidak mengapa saya tanggung, saya hanya perlukan doa daripada anda semua sahaja,” katanya.
Isnin lalu, melaporkan Muhamad Akmal kalah dalam saman fitnah yang difailkan Teresa dan diperintahkan membayar ganti rugi serta kos keseluruhan berjumlah RM300,000.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim, membuat keputusan itu selepas mendapati Muhamad Akmal bertanggungjawab terhadap kenyataan berunsur fitnah yang menjadi asas saman berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, individu yang berminat membeli motosikal X-ADV miliknya boleh menghubunginya selepas maklumat lanjut mengenai penjualan itu dikongsikan kelak.





