
KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong diarahkan keluar daripada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa selepas mempertikaikan keputusan Speaker berhubung penggunaan ungkapan ‘pengecut politik’ terhadap Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin.
Kejadian berlaku pada awal persidangan apabila Kim Shin membangkitkan penggunaan ungkapan berkenaan oleh Violet ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Isnin.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar kemudian memutuskan bahawa ungkapan tersebut tidak berparlimen dan mengarahkan ia dipadamkan daripada rekod rasmi persidangan atau Hansard.
Bagaimanapun, Violet mempertikaikan keputusan itu dan mendakwa beliau tidak diberikan peluang untuk menjelaskan pendiriannya sebelum keputusan dibuat.
Menurutnya, beliau cuba membangkitkan Peraturan Mesyuarat 32(3) dan 42(1) bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara yang telah diputuskan Dewan sebelum ini.
Beliau mendakwa mikrofon tidak dihidupkan ketika cuba menyampaikan hujah berkenaan kepada Speaker.
Violet kemudiannya diarahkan keluar selepas terus mempertikaikan keputusan tersebut.
“Keluar, anda telah menghina dewan ini,” kata Speaker ketika mengarahkan ADUN Pending itu meninggalkan Dewan.
Bercakap kepada pemberita selepas kejadian, Violet melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan berkenaan yang disifatkannya sebagai tindakan menyekat ruang pembangkang menyuarakan pandangan.
Menurutnya, Hansard sepatutnya merekodkan apa yang berlaku sepanjang persidangan, termasuk kenyataan yang dianggap kontroversi.
Beliau berpandangan bahawa rekod rasmi Dewan perlu mencerminkan perjalanan sebenar perbahasan dan tidak seharusnya dipinda semata-mata kerana sesuatu kenyataan tidak disenangi pihak tertentu.
Pertikaian itu tercetus susulan tindakan Violet menggelar Kim Shin sebagai ‘pengecut politik’ ketika membantah kenyataan menteri berkenaan terhadap ADUN Padungan, Chong Chieng Jen pada Isnin.
Violet mendakwa tindakan Kim Shin mengkritik Chong ketika beliau tidak berada dalam Dewan sebagai tidak wajar memandangkan wakil rakyat Padungan itu telah digantung daripada menghadiri persidangan.
Sementara itu, Kim Shin sebelum ini menegaskan bahawa penggantungan Chong bukan keputusan peribadinya, sebaliknya diluluskan melalui undian majoriti ADUN.
Untuk rekod, Chong digantung daripada menghadiri persidangan DUN Sarawak bermula 15 Oktober sehingga persidangan berakhir pada 21 Oktober selepas usul penggantungan terhadapnya diluluskan dengan 62 undi menyokong, satu menentang dan satu berkecuali.


