
CRISTIANO Ronaldo dikenakan penggantungan selama 30 hari selepas meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan Portugal, umum Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF).
Pemain berusia 41 tahun itu meninggalkan kem Portugal secara mengejut pada 30 September ketika saingan Liga Negara-Negara UEFA sebelum menuduh jurulatih Jorge Jesus mungkir janji untuk memberikannya peluang beraksi.
Ronaldo memohon maaf kepada penyokong pada awal Oktober dan menegaskan dirinya bersedia menerima sebarang hukuman.
Bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu turut didenda 255 euro (RM1,165) dan menerima hukuman minimum mengikut peraturan FPF yang menetapkan penggantungan antara satu hingga enam bulan bagi pemain yang meninggalkan skuad kebangsaan.
Ronaldo meninggalkan kem Portugal selepas diarahkan melakukan pemanasan badan sebagai pemain gantian ketika menentang Norway pada 27 September, namun tidak diturunkan.
Dia kemudian dimaklumkan tidak akan berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Denmark pada 1 Oktober.
Penggantungan Ronaldo berkuat kuasa pada tarikh perlawanan menentang Denmark, bermakna dia sudah menjalani 19 hari daripada tempoh hukuman dan akan melengkapkannya menjelang akhir Oktober.
Jawatankuasa disiplin FPF berkata, pihaknya mengambil kira ‘rasa kesal yang ditunjukkan dalam kenyataan’ Ronaldo pada 6 Oktober, apabila pemain itu mengakui kesilapannya dan menyatakan kesediaan menerima hukuman.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal serta pemegang rekod penampilan antarabangsa dalam bola sepak lelaki.



