
KUCHING – Kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan terus diperkukuh menerusi peruntukan RM1.5 juta bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan di lima lokasi di negeri ini sepanjang 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerjasama strategik itu penting bagi mempercepat pembangunan sektor pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan, sekali gus meningkatkan kemudahan serta pengalaman pengunjung.
Menurutnya, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan projek dan inisiatif pelancongan dapat diselaraskan secara berkesan.
“Antara rakan strategik di peringkat Persekutuan ialah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia serta Jabatan Warisan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
Abdul Karim berkata, peruntukan RM1.5 juta itu disalurkan kerajaan Persekutuan menerusi Program Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) bagi melaksanakan lima projek infrastruktur pelancongan di Sarawak.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan beberapa destinasi pelancongan alam semula jadi, rekreasi dan kebudayaan yang mempunyai potensi untuk terus dibangunkan.
“Projek berkenaan melibatkan Taman Negara Maludam, Taman Awam Miri, Homestay Patrick Libau di Niah, Air Terjun Melasak di Lawas serta Kampung Budaya Sarawak di Kuching,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, MOTAC turut meluluskan kerja menaik taraf infrastruktur ekopelancongan di empat lokasi lain bagi meningkatkan kemudahan serta akses kepada pengunjung.
Lokasi berkenaan ialah Taman Negara Santubong, Taman Negara Similajau, Taman Negara Kubah dan Pusat Hidupan Liar Matang.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada kerjasama berterusan antara kedua-dua kerajaan dalam memperkukuh kemudahan dan daya tarikan pelancongan Sarawak.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan sektor pelancongan negeri dapat diteruskan secara terancang.


