SEMPORNA – Projek pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, di sini, dijangka siap pada 4 Mei 2028.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir Ts Mustapha Sakmud berkata, pembinaan FOB itu mengalami sedikit kelewatan sebelum ini, bagaimanapun kontraktor baharu sudah dilantik bagi meneruskan pelaksanaannya.
“Projek di Pulau Ligitan Alhamdulillah sudah siap manakala tiada masalah projek di Pulau Sipadan.
“Berdasarkan taklimat yang diterima tadi, kemajuan projek Pulau Mabul kini berada pada tahap baik dan dijangka siap mengikut jadual baharu yang ditetapkan.
“Jadi kita harap, JKR, kontraktor yang dilantik dan agensi terlibat dapat memastikan pangkalan itu disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja rasmi bagi meninjau kesiapsiagaan kawalan sempadan di Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Mabul, pada Isnin.
Menurut Mustapha, lawatan ke pulau-pulau berkenaan bertujuan meninjau pelaksanaan projek berkaitan keselamatan negara yang turut dibincangkan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Oleh itu katanya, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak turut diminta memantau projek-projeku terbabit termasuk projek yang dikategorikan sebagai projek sakit.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, FOB berkenaan penting sebagai penanda aras bagi pelaksanaan projek seumpamanya pada masa hadapan khususnya di kawasan sempadan negara Sabah dan Sarawak.
“Perkara itu penting bagi memastikan persediaan terutama aset-aset keselamatan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman yang tidak diingini,” ujarnya.
Difahamkan, projek inisiatif diterajui ESSCOM dan Pasukan Polis Marin (PPM) bernilai RM40.82 juta itu merangkumi pembangunan blok pentadbiran, blok kediaman berbentuk asrama berkapasiti 80 anggota, stor peluru, dewan makan dan surau.
Projek itu turut merangkumi pembinaan jeti sepanjang 175 meter bagi menyokong keperluan operasi dan ketika ini, kemajuan fizikal projek berada pada tahap 14 peratus mengikut jadual dengan kerja pembinaan masih berjalan.
Dalam lawatan sama, sumbangan makanan dan kewangan yang diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri turut diagihkan kepada 128 anggota keselamatan dan petugas yang terlibat dalam menjaga keselamatan pulau-pulau terbabit.





