KUALA LUMPUR – Sebanyak 199 kes jenayah membabitkan pelarian Rohingya direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2022 hingga Ogos 2026, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 58 kes.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kedah merekodkan 26 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 22 kes dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, sebanyak 52 kes direkodkan pada 2022, diikuti 43 kes pada 2023, 37 kes (2024), 29 kes (2025) dan 38 kes sehingga Ogos 2026.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen, hari ini, bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta jumlah kesalahan jenayah membabitkan pelarian Rohingya mengikut negeri serta langkah kerajaan memperkukuh kawalan, pendaftaran dan pemantauan komuniti itu.
Mengulas langkah pengurusan pelarian, Saifuddin berkata, Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka diwujudkan bagi mengurus semua golongan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada etnik Rohingya.
Katanya, arahan itu menetapkan garis panduan serta fungsi dan peranan pelbagai kementerian dan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
“Di bawah kerangka Arahan MKN Nombor 23 ini, kerajaan memperkukuh kawalan serta pemantauan terhadap seluruh komuniti pelarian termasuk etnik Rohingya menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP),” katanya.
Beliau berkata, program DPP menjadi instrumen utama kerajaan untuk memperkukuh pengurusan data pelarian secara berpusat, sekali gus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Katanya, migran yang statusnya disahkan akan diberikan pas khas berbentuk kad dikenali sebagai Kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
“Kad ini adalah dokumen identiti rasmi kepada golongan ini dan dokumen tunggal yang diiktiraf oleh kerajaan bagi membenarkan pemegangnya untuk tinggal sementara di Semenanjung Malaysia sehingga pengurusan akhir dilaksanakan ke atas pemegang kad,” katanya.






