
UCAPAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika membahaskan Belanjawan 2027 tiada perkara baharu atau cadangan alternatif yang jelas, kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berpandangan sudah tiba masanya Pas mengambil alih peranan Ketua Pembangkang dan mengetengahkan calon pemimpin utama atau poster boy mereka sendiri.
“Hamzah menyentuh mengenai “enjin pertumbuhan ekonomi berimpak besar”. Menurut Hamzah semua itu wujud semasa Tun M, Pak Lah dan Najib jadi Perdana Menteri. Hairan juga kenapa nama Muhyiddin dan Ismail Sabri dipinggirkan?
“Hamzah sendiri tidak mencadangkan apa enjin pertumbuhan ekonomi jika Pas-Wawasan memerintah,” katanya dalam satu hantaran media sosial hari ini.

Dalam pada itu, Puad turut mengkritik bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kerana melepaskan jawatan Ahli Parlimen Pandan, yang menurutnya menyebabkan penduduk kawasan itu kehilangan wakil untuk menyampaikan aduan dan masalah setempat.
“Rafizi tidak bertanggungjawab. Dia meletak jawatan kerana pentingkan diri sendiri. Dia takut implikasi akta anti lompat parti dan bon parti RM10 juta. Sebab itu dia kosongkan kerusi Pandan sebelum sertai Bersama.

“Alasan pulangkan mandat kepada rakyat amat mengarut. Rafizi tahu selepas tiga tahun PRK (pilihanraya kecil) tidak perlu diadakan. Dan tidak mungkin PMX akan ikut rentak Rafizi.
“Rafizi takut rugi bayar bon. Dia tidak peduli kerugian rakyat yang pilih dia. Dua tahun rakyat Pandan tidak ada wakil rakyat untuk mengadu masalah di kawasan.
Puad turut menyindir peringatan Hamzah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak terlalu bercita-cita tinggi, walhal Hamzah lah perlu beringat tentang parti baharunya.
“Kita faham Pas kekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang untuk kekalkan sokongan Wawasan hingga Pas benar benar jadi dominan berbanding UMNO,” katanya.
“Jangan nanti Hamzah yang tidak boleh menggapai langit kerana politik parti Wawasan masih berjerebu,” katanya.





