SANDAKAN – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sandakan mencatatkan 112 setakat pukul 3 petang, sekali gus meletakkan kawasan itu dalam kategori tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan berkenaan berada dalam julat 101 hingga 200.
Keadaan itu meningkatkan risiko kesihatan, khususnya kepada kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap asma atau penyakit pernafasan.
Justeru, penduduk disaran mengehadkan aktiviti fizikal di luar bangunan dan mengelakkan pembakaran terbuka bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran.
Sementara itu, stesen pemantauan lain di Sabah merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, antaranya Tawau (95), Politeknik Kota Kinabalu (90), Keningau (83), Kimanis (76) dan Kota Kinabalu (73).
Mengikut pengelasan IPU, bacaan sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara menerusi portal APIMS JAS bagi mengikuti perubahan bacaan dari semasa ke semasa.
Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh
KOTA KINABALU – Kelewatan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A bukan berpunca daripada satu pihak sahaja, sebaliknya membabitkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan, kata Ketua Merinyu Projek, Datuk…
Lebih lanjut





