
KUCHING – Sebanyak 557 unit lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar dicadangkan untuk dipasang di sepanjang laluan dari simpang Lebuh Raya Pan Borneo ke Pekan Kabong bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo berkata, cadangan kemudahan itu melibatkan laluan sepanjang kira-kira 37.7 kilometer dengan anggaran kos mencecah RM3.62 juta.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada masa yang sama turut melaksanakan beberapa inisiatif keselamatan jalan raya tambahan di laluan berkenaan.
“Antara langkah (sementara) yang diambil termasuklah pemasangan lampu amaran berkelip, penanda jalan, papan tanda dan garisan jalan, khususnya di kawasan selekoh tajam, persimpangan, jambatan serta kawasan perkampungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Khamis.
Sebagai rekod, Aidel memaklumkan bahawa sebanyak 700 unit lampu jalan LED berkuasa solar telah pun siap dipasang pada tahun 2025 yang lalu menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Pemasangan fasa terdahulu itu melibatkan laluan dari Simpang Roban hingga ke Pasar Kabong. Spesifikasi jarak pemasangan antara tiang lampu ditetapkan pada radius 30 meter di kawasan selekoh dan 60 meter di kawasan laluan lurus.
Tambah beliau, cadangan penambahan lampu fasa baharu tersebut diharap dapat memaksimumkan kadar pencahayaan di sepanjang laluan berkenaan, sekali gus membantu mengurangkan risiko kemalangan serta memberikan keselesaan pemanduan kepada pengguna jalan raya setempat.






