PUTRAJAYA – Tindakan Senator Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan Eric See-To dalam kontroversi penggunaan istilah berkaitan al-Quran mengundang persoalan mengenai konsistensi parti itu dalam melindungi sensitiviti agama Islam.
Penganalisis politik, Nurul Raihan Abidin berkata, Pas yang selama ini meletakkan Islam sebagai teras perjuangan perlu menunjukkan prinsip mempertahankan kesucian al-Quran bukan sekadar slogan politik, sebaliknya menjadi pegangan yang diterapkan secara konsisten terhadap semua pihak.
“Persoalannya, mengapa begitu mudah memberikan pembelaan apabila individu tertentu terpalit kontroversi, sedangkan dalam isu agama, perkara yang perlu diutamakan ialah ketelitian, adab dan tanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat?
“Jika Nik Abduh berpendapat Eric tidak berniat menghina al-Quran, beliau perlu mengemukakan asas yang jelas bagi menyokong penilaian itu. Jangan sampai alasan salah faham menjadi jalan pintas untuk menutup persoalan yang masih memerlukan penjelasan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Nurul Raihan berkata, pendirian yang adil menuntut semua pihak dinilai berdasarkan ukuran yang sama, bukannya diberikan layanan berbeza mengikut hubungan, kecenderungan atau kepentingan politik masing-masing.
“Kalau pihak lain membuat kenyataan yang dianggap menyentuh sensitiviti Islam, adakah Pas juga akan segera tampil memberikan ruang penjelasan dan mempertimbangkan kemungkinan salah faham? Atau pendekatan itu hanya digunakan dalam kes tertentu?
“Ini persoalan yang perlu dijawab secara terbuka. Konsistensi prinsip tidak boleh diukur berdasarkan siapa yang kita bela, tetapi berdasarkan kesediaan menggunakan ukuran yang sama terhadap semua orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan mempertahankan Eric disifatkan bermotifkan politik susulan latar belakang beliau yang pernah memegang jawatan dalam komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) serta sokongannya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Nurul Raihan, Pas perlu mengelakkan tanggapan bahawa prinsip agama boleh dilonggarkan apabila sesuatu isu melibatkan individu yang mempunyai kedudukan atau hubungan politik tertentu.
“Jika benar yang dipertahankan ialah keadilan, maka pertahankanlah keadilan itu secara menyeluruh. Jika yang menjadi keutamaan ialah penghormatan terhadap al-Quran, maka ukuran yang sama mesti dikenakan tanpa mengira latar belakang politik individu terbabit.
“Jangan sampai masyarakat melihat prinsip yang dilaungkan begitu tegas ketika berhadapan dengan lawan politik, tetapi menjadi lebih lunak apabila berhadapan dengan individu yang boleh dianggap sehaluan dalam percaturan politik,” katanya.
Mengulas lanjut, isu itu juga tidak wajar dijadikan alat untuk menutup kritikan terhadap kerajaan atau menyerang mana-mana pihak secara membuta tuli, sebaliknya semua pihak perlu bertanggungjawab terhadap ketepatan bahasa dan konteks kenyataan masing-masing.
“Dalam politik, setiap pihak berhak mengkritik kerajaan atau mempertahankan seseorang. Tetapi apabila isu agama dibangkitkan, tanggungjawab untuk menjelaskan perkara sebenar tidak boleh diketepikan hanya kerana kita mahu mempertahankan individu tertentu.
“Nik Abduh perlu menjelaskan asas pembelaannya dengan lebih tuntas supaya masyarakat dapat menilai sama ada pendirian itu benar-benar berlandaskan prinsip yang konsisten atau sekadar penilaian terhadap satu kes tertentu.
“Jika Pas mahu masyarakat yakin bahawa Islam sentiasa menjadi keutamaan, parti itu perlu membuktikannya melalui tindakan dan pendirian yang jelas, bukan sekadar retorik,” katanya.






