
KUCHING – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) meneruskan usaha memperkukuh hubungan strategik bersama komuniti perniagaan apabila menganjurkan Dialog Tahunan SSM 2026 Peringkat Negeri Sarawak, pada Isnin.
Program berkenaan menjadi platform komunikasi dua hala antara SSM dengan pemain industri bagi mendengar, memahami serta meneliti isu dan cabaran yang dihadapi komuniti perniagaan dan korporat, selain berkongsi perkembangan terkini berkaitan perundangan, dasar, operasi serta penguatkuasaan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Rezy Izwan Ramly berkata, SSM melanjutkan tempoh pengurangan kadar kompaun di bawah Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 sehingga 31 Disember 2026 bagi memberi peluang kepada syarikat yang layak menyelesaikan kompaun tertunggak serta mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang.
“Pelanjutan ini memberi peluang kepada syarikat yang layak menyelesaikan kompaun tertunggak serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, pengurangan kadar kompaun tersebut melibatkan syarikat yang telah membuat serah simpan dokumen tertunggak, sedang dalam proses pembubaran, telah memohon pemotongan nama atau dikenakan tindakan pemotongan nama oleh Pendaftar, selain syarikat yang telah dibubarkan.

Menurutnya, sehingga 30 September 2026, kadar pematuhan serah simpan di Malaysia merekodkan 79 peratus bagi penyata kewangan, 93 peratus bagi penyata tahunan dan 93 peratus bagi maklumat pemunyaan benefisial.
Bagi Sarawak pula, kadar pematuhan menunjukkan pencapaian lebih tinggi dengan 84 peratus bagi penyata kewangan, 95 peratus bagi penyata tahunan dan 95 peratus bagi maklumat pemunyaan benefisial.
Sementara itu, pelaksanaan Corporate Registry System (CRS) yang mula beroperasi pada 14 Julai 2026 merupakan langkah SSM dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pendaftaran korporat menerusi sistem digital yang lebih tersusun.
Sehingga 30 September 2026, sebanyak 169,828 transaksi telah diluluskan melalui CRS termasuk 12,072 pemerbadanan syarikat, sekali gus mencerminkan penerimaan positif terhadap transformasi digital yang dilaksanakan.
Bagi membantu pihak berkepentingan memenuhi tanggungjawab pematuhan, SSM turut melanjutkan pengecualian fi lewat serah simpan melalui CRS sehingga 31 Disember 2026.
Antara pengisian utama dialog tersebut termasuk penerangan mengenai pelaksanaan CRS, inisiatif Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan 2026, pembentangan cadangan pindaan Akta Syarikat 2016 [Akta 777] berkaitan Kerangka Pelaporan Kemampanan serta semakan Arahan Amalan, Nota Amalan dan Garis Panduan di bawah akta berkenaan.
Dialog Tahunan SSM 2026 Peringkat Negeri Sarawak merupakan sesi kedua bagi tahun ini selepas sesi pertama berlangsung di Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu. Siri dialog tersebut akan diteruskan menerusi sesi peringkat Sabah yang dijadualkan berlangsung di Kota Kinabalu pada 14 Oktober 2026.






