Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bukti kerajaan komited laksana reformasi – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan membuktikan kesungguhan melaksanakan agenda reformasi institusi menerusi penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, yang bertujuan memperkukuh demokrasi dan meningkatkan kematangan sistem politik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan akta itu mencerminkan kesediaan kerajaan melakukan perubahan secara berani dan tegas, termasuk melepaskan sebahagian kuasa yang sebelum ini berada di bawah kawalan kerajaan dan ketua majlis.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan prinsip demokrasi berparlimen dapat diterjemahkan melalui pengurusan institusi yang lebih berwibawa, selain meningkatkan profesionalisme kakitangan Parlimen.

“Selain mengangkat keupayaan kakitangan dan tahap profesionalismenya, kita juga mengharapkan peningkatan mutu perbahasan dan juga adab dalam perbahasan sesuai dengan bidang kuasa baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, empat Ahli Dewan Rakyat, masing-masing dua daripada blok kerajaan dan pembangkang, dilantik menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi meneliti urusan perkhidmatan institusi itu.

Pelantikan berkenaan menandakan pengembalian perkhidmatan khusus Parlimen selepas 34 tahun, susulan pemansuhan undang-undang terdahulu pada 1992.

Wakil kerajaan yang dilantik ialah Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.

Anwar sebelum itu mengemukakan usul pelantikan ahli majlis berkenaan selepas selesai Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan, mengikut Peraturan Mesyuarat 76.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih pada 13 Oktober lalu bersetuju mencadangkan nama Ahli Dewan Rakyat untuk menganggotai majlis itu, selaras dengan peruntukan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemilih menjalankan tanggungjawab mengikut Seksyen 3(2)(f) akta berkenaan bagi menamakan empat Ahli Dewan Rakyat, dengan dua mewakili kerajaan dan dua lagi pembangkang.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, kemudian memaklumkan bahawa usul itu perlu dibahaskan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau berkata, perbahasan tidak perlu diteruskan selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan nama yang dicadangkan.

Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan pindaan berkaitan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, sekali gus membuka laluan kepada pengembalian perkhidmatan khusus Parlimen selepas dimansuhkan pada 1992.

Related Posts

Had tempoh jawatan PM, pengasingan kuasa pendakwaan dibincang Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya antara perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 di…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Parlimen bebas selepas 33 tahun, Azalina puji langkah Anwar

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan kuasa eksekutif terhadap pentadbiran Parlimen disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kebebasan institusi itu. Menteri di Jabatan Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

ADUN Tellian cadang tubuh DUN Belia Sarawak sebagai platform kepimpinan muda

ADUN Tellian cadang tubuh DUN Belia Sarawak sebagai platform kepimpinan muda

Had tempoh jawatan PM, pengasingan kuasa pendakwaan dibincang Majlis Raja-Raja

Had tempoh jawatan PM, pengasingan kuasa pendakwaan dibincang Majlis Raja-Raja

Parlimen bebas selepas 33 tahun, Azalina puji langkah Anwar

Parlimen bebas selepas 33 tahun, Azalina puji langkah Anwar

IPU Sandakan cecah 112, berada pada tahap tidak sihat

  • By Fandi
  • October 15, 2026
IPU Sandakan cecah 112, berada pada tahap tidak sihat

Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh

Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh

Puad persoal idea ekonomi Hamzah, tindakan Rafizi lepas kerusi Pandan

Puad persoal idea ekonomi Hamzah, tindakan Rafizi lepas kerusi Pandan